KUCHING – Atlet wushu negeri, Gillian Ong Ying Sze menyumbang pingat pertama buat Pulau Pinang apabila berjaya meraih gangsa dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak hari ini.
Ying Sze menduduki tempat ketiga dalam saingan kategori Nanquan Wanita peringkat akhir selepas mengumpul 9.493 mata di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya di sini.
Dia yang berumur 17 tahun hanya ketinggalan 0.003 mata di belakang atlet dari Johor, Unice Pan Wei Eng yang mengumpul 9.496 mata.
Pingat emas bagi acara Nanquan Wanita pula dimenangi oleh atlet dari Melaka, Tan Pei Ler selepas mengumpul 9.500 mata.
Seorang lagi atlet negeri, Lee Belfern terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat selepas memperoleh 9.373 mata.
Sementara itu, atlet wushu negeri bagi kategori Nanquan Lelaki yang diwakili oleh Wei Din Jun berada di tempat keempat selepas mengumpul 9.480 mata di belakang atlet tuan rumah Sarawak yang memenangi gangsa, Fung Tai Leong (9.560 mata).
Pingat emas bagi kategori tersebut pula dimenangi oleh atlet dari Melaka, Byran Ti Kai Jie dengan 9.600 mata diikuti pingat perak oleh atlet dari Perak, Foo Mun Fei (9.560 mata).
Turut berlangsung hari ini adalah kategori Taijijian Wanita yang diwakili oleh Ng Jia Wen dan Koo Yi Jia mengakhiri cabaran di tempat kelima dan keenam.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN