Atlet wushu terus unggul, hadiahkan pingat emas dan perak pertama Pulau Pinang

img 20240814 183626 114

KUCHING – Atlet wushu negeri terus menampilkan prestasi unggul dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak apabila berjaya menghadiahkan pingat emas pertama buat Kontinjen Negeri Pulau Pinang menerusi Muhammad Danish Aizad Mohd. Firdaus Chua sebentar tadi.

Muhammad Danish Aizat, 20, menampilkan aksi cemerlang dalam kategori Changquan Lelaki peringkat akhir dengan mengumpul 9.620 mata dalam perlawanan yang berlangsung di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya di sini.

img 20240814 183424 950
Muhammad Danish Aizah Mohd. Firdaus Chua (kiri) dan Lim Jue Xin.

Pingat perak pertama untuk negeri Pulau Pinang pula hadir menerusi Lim Jue Xin yang berjaya mengumpul 9.596 mata dalam kategori yang sama.

Sementara itu, Eng Ying Sin pula menyumbangkan pingat perak kedua menerusi kategori Taijijian Lelaki selepas mengutip 9.523 mata manakala seorang lagi atlet, Joshua Low Zhou Sheng menamatkan cabaran di tempat ketujuh.

Muhammad Danish Aizat ketika ditemui Buletin Mutiara berkata bahawa dia telah menetapkan sasaran pingat emas dalam temasya kali ini.

“Saya telah menjalani latihan secara aktif untuk tujuan ini, sekarang saya berasa amat gembira kerana sasaran yang ditetapkan telah berjaya dicapai,” katanya dalam nada teruja.

Pada masa sama, Muhammad Danish menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada ibu bapanya kerana tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang perjalanannya dalam sukan seni mempertahankan diri itu.

“Selain ibu bapa, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Wushu Malaysia dan Persatuan Wushu Pulau Pinang serta jurulatih yang sentiasa memberikan bimbingan kepada saya selama ini,” katanya.

img 20240814 164035 453

img 20240814 164028 559

img 20240814 164044 161

img 20240814 164048 136

Memandangkan temasya Sukma ke-21 merupakan penyertaan ketiga dan yang terakhir bagi dirinya, Muhammad Danis Aizat memberitahu bahawa dia tampil lebih tenang dan cuba mempersembahkan aksi yang terbaik.

“Saya cuma berharap agar tidak melakukan sebarang kesilapan dan mencuba yang terbaik untuk beraksi dengan lebih baik di atas gelanggang,” katanya.

Selepas ini, dia akan meneruskan saingan dalam kategori Daoshu Lelaki dan Gunshu Lelaki.

Terdahulu, Pulau Pinang berjaya memenangi pingat gangsa menerusi Gillian Ong Ying Sze dalam kategori Nanquan Wanita.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN