BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan keyakinan bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri ‘selamat’ dan bersedia berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh kurang tiga bulan dari sekarang.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, perkara tersebut adalah berdasarkan semangat perpaduan dan pencapaian Kerajaan Negeri PH sepanjang 15 tahun diberi mandat untuk memerintah serta mentadbir negeri ini.
“Sememangnya, kita menghadapi pelbagai cabaran pada penggal pertama, kedua, ketiga juga ada, tetapi kita hadapinya dengan gigih dan berani.
“Atas semangat kerjasama PH Pulau Pinang, kita menangani segala cabaran untuk kekal menjadi kerajaan (negeri) buat penggal seterusnya.
“Kita berharap PRN akan datang ini, dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan, kita lebih kuat, dan kita turut menghargai keputusan Barisan Nasional (BN) serta juga sokongan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Sabah yang mana dengan keputusan itu, Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti kukuh untuk membawa Malaysia ke hadapan sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang,” ujarnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri 2023 di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri; Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou You Bin dan juga Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa di Pulau Pinang, kerajaan di bawah kepimpinannya juga telah mula berbincang dengan BN di bawah semangat Kerajaan Perpaduan untuk berdepan PRN kelak.
“BN mempunyai kepercayaan bahawa kita (PH) mampu menangani halangan serta rintangan daripada parti-parti pembangkang, dan saya harap semangat itu dapat membawa kejayaan itu dalam PRN nanti.
“Sebelum mencapai kemenangan, kita ada kurang tiga bulan (mungkin) untuk mengatur strategi serta melaksanakan tindakan, dan saya berharap semua pimpinan PH serta BN peringkat negeri dan juga seluruh jentera parti kita akan pandang serius PRN akan datang kerana ia akan membawa harapan rakyat Pulau Pinang,” tegasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dianggarkan seramai 5,000 tetamu hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka tersebut dengan hidangan juadah-juadah tradisi Aidilfitri. Tidak ketinggalan adalah sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan serta duit raya kepada kanak-kanak.