Augy Global Marketing hasrat perluas rangkaian perniagaan

img 8268

BERMULA dengan menjual barangan tekstil seperti cadar, langsir dan kepeluan rumah yang lain secara-kecil-kecilan, perniagaan Augy Global Marketing Sdn. Bhd. kini berkembang maju seperti yang boleh dilihat pada hari ini.

dsc 4488
Rosnizam Ishak.

Pengarah Urusan AUGY Global Marketing, ROSNIZAM ISHAK, 48 tahun memberitahu bahawa beliau kini mengusahakan dua jenis perniagaan iaitu perkhidmatan pengilangan kontrak (OEM) untuk produk biskut raya dan kafe berasaskan pencuci mulut dekat Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas.

Rosnizam berkata, beliau memfokuskan perniagaan dalam industri makanan dan minuman (F&B) bermula pada tahun 2017 selepas perniagaan tekstil mula merosot ekoran perkembangan teknologi yang semakin canggih.

“Sebenarnya saya mulakan perniagaan pada tahun 2008 lagi dengan menjual barangan tekstil untuk perhiasan rumah seperti cadar, langsir dan barangan berkaitan kain menggunakan kaedah katalog.

“Apabila masuk ke tahun 2015, sambutan terhadap perniagaan katalog mula berkurangan susulan perkembangan platfrorm dalam talian seperti Shopee, Lazada, Tik Tok dan lain-lain.

“Keadaan ini menyebabkan saya mula kehilangan ramai pelanggan kerana perniagaan menggunakan katalog sudah ketinggalan,” katanya sambil menambah bahawa ketika itu beliau mempunyai kira-kira 9,000 orang ejen di seluruh negara.

dsc 4482
Factory Dessert & Cafe yang terletak di Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas.

Rosnizam berkata, beliau memulakan perniagaan F&B dengan menjual produk biskut raya yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan tembatan dengan memfokuskan bidang jualan dan pemasaran.

“Pada masa sama, saya turut menghasilkan biskut raya sendiri di bawah jenama Augy Global Marketing Sdn. Bhd. di samping memasarkan produk-produk usahawan lain.

“Pada permulaannya agak sukar kerana saya kurang pengalaman dalam bidang F&B tetapi saya tetap teruskan juga sehinggalah berlakunya pandemik COVID-19 pada penghujung tahun 2019.

“Ketika itu, saya merasakan bahawa agak sukar untuk meneruskan perniagaan dengan menjual dan memasarkan biskut raya semata-mata kerana persaingan yang semakin sengit saban hari.

“Jadi saya mengambil inisiatif mula menawarkan perkhidmatan OEM kepada mereka yang mahu menjadi usahawan dan mencipta produk biskut raya sendiri,” katanya yang merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah institusi pendidikan di Jepun.

Tidak terhenti di situ, Rosnizam berkata pada tahun 2024 beliau memulakan pula perniagaan kafe berasaskan pencuci mulut dikenali sebagai Factory Dessert & Cafe sebagai satu lagi strategi pemasaran produk biskut raya Augy Global Marketing.

dsc 4518
Antara produk biskut raya dan pastri yang dipasarkan.

dsc 4497dsc 4508

“Saya mulakan perniagaan kafe dengan menawarkan tiga jenis sahaja pastri iaitu cromboloni, croissant dan biskut kerana matlamat saya adalah hendak orang ramai tahu bahawa di Bertam juga terdapat kilang menghasilkan biskut raya.

“Namun begitu, bahan-bahan untuk menghasilkan pastri amat sukar untuk didapati di Pulau Pinang sehingga saya terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan barangan yang diperlukan.

“Oleh itu, saya memutuskan untuk menghasilkan pastri sendiri dan mengedarkannya ke kafe-kafe di seluruh Pulau Pinang atau mereka yang mahu menganjurkan sebarang majlis,” ulasnya lanjut.

Menurut Rosnizam, ekoran sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, Augy Global Marketing Sdn. Bhd. bertindak membuka francais pertamanya di Kangar, Perlis yang mula beroperasi pada Januari tahun ini.

“Selain itu, satu lagi francais dijangka akan dibuka pada bulan Mac tahun ini juga iaitu di Lebuh Chulia dekat George Town,” jelasnya.

Ditanya mengenai cabaran, Rosnizam berkata bidang F&B sememangnya mempunyai cabaran yang tersendiri terutamanya dalam konteks persaingan.

“Strategi pemasaran sentiasa berubah saban tahun, jadi saya perlu menjalankan promosi dengan lebih giat lagi di pelbagai platform dalam talian terutamanya Facebook, Shopee dan Tik Tok.

“Saya juga sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan pengeluran biskut raya yang mana ketika ini kami memasarkan lebih daripada 18 jenis biskut pada musim perayaan,” katanya.

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Rosnizam berkata bahawa beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi rangkaian perniagaan Factory Dessert & Cafe di samping meningkatkan pengeluaran biskut raya sebanyak yang mungkin.

“Kita sedang mencari sesiapa yang berminat untuk membuka francais dan kita akan ajar semuanya bermula dari latihan dan bimbingan, jualan serta pemasaran termasuk mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya menutup bicara.