Awas di empat kawasan sensitif denggi – Exco Kesihatan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap komuniti di empat kawasan yang masih sensitif denggi terus berada dalam situasi berjaga-gaga walaupun tiada lagi kes kematian terbaru direkodkan dalam minggu ke-lima tahun ini.

Menurut beliau, dua kes direkodkan di Jalan Sungai, Jalan Sekolah La Salle, Taman Sri Damai (3) dan Halaman Inderawasih (4) menjadikan kesemua lokasi tersebut sebagai kawasan sensitif denggi pada minggu ke-lima ini.

“Walaupun tiada kematian akibat denggi direkodkan pada minggu ke-lima (26 Januari hingga 1 Februari lepas), saya berharap komuniti di kawasan-kawasan sensitif ini terus mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Difahamkan, sebanyak 49 kes demam denggi direkodkan sepanjang minggu ke-lima tahun ini. Itu, menjadikan jumlah kumulatif sepanjang tempoh tahun ini adalah sebanyak 257 kes demam denggi.

“Bagi tempoh sama tahun 2013, sebanyak 12 kes telah dicatatkan, manakala, jumlah kumulatif hanya sebanyak 83 kes (demam denggi),” ujar beliau sambil menasihat semua pihak supaya membersihkan kawasan masing-masing demi mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Dari keseluruhan 17 kes kematian akibat denggi di Malaysia, Afif menjelaskan bahawa dua kes serupa direkodkan di negeri ini.

Dalam satu kenyataan lain sebelum ini, Afif turut memanggil Persatuan-Persatuan Kontraktor di Pulau Pinang untuk saling bekerjasama bagi meningkatkan langkah mencegah pembiakan nyamuk aedes di tapaktapak pembinaan.

Dalam taklimat tersebut, beliau mendedahkan sebanyak 698 tapak pembinaan diperiksa sepanjang tahun lepas. Hasil langkah proaktif itu, 124 kawasan pembinaan dikenal pasti positif biak denggi dan 33 premis diarah tutup.

Manakala 85 premis lagi di’abate’, pengabutan (72 premis) (72 premis), pemberian notis (123 premis) dan pemberian kompaun (98 premis).

Tambah Afif, tapak pembinaan merupakan antara lokasi sensisif denggi di negeri ini, selain, tempat ibadat, tanah perkuburan serta kawasan lapang atau kawasan rekreasi.