Azam 2025 : JKNPP fokus reformasi sektor kesihatan negeri, tambah baik penyampaian

img 5772

KIRA-kira dua minggu lagi kita semua akan melangkah ke tahun baharu 2025, dan meninggalkan tahun 2024 yang penuh dengan pelbagai kisah suka dan duka yang telah ditempuhi.

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurufoto, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR sempat mendapatkan beberapa responden untuk mengetahui azam baharu mereka menjelang tahun 2025.

 

img 5771

Bagi Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. FAZILAH SHAIK ALLAUDIN, peruntukan dalam Belanjawan 2025 berjumlah RM45.3 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.

“Azam tahun baharu saya pastinya adalah untuk memastikan peruntukan bagi negeri Pulau Pinang digunakan secara optimum dalam memenuhi keperluan rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah Kertas Putih Kesihatan, Projek Pembangunan KKM dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

“Usaha-usaha reformasi sektor kesihatan perlu diteruskan dan dipertingkatkan.

“Tahun 2025 juga merupakan tahun terakhir bagi Rancangan Malaysia Ke -12 (RMKe-12) yang mana saya berharap agar semua sasaran perancangan lima tahun dapat dicapai dan kita bersiap sedia mengorak langkah ke RMKe-13.

“Dalam hal ini, saya percaya pendekatan ‘whole of nation’ adalah penting untuk JKNPP memperluas dan memperkukuh kesinambungan kerjasama di antara Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai pemangkin penyampaian perkhidmatan kesihatan di Pulau Pinang.

“JKNPP akan terus komited untuk memberi fokus kepada transformasi dan penambahbaikan mutu penyampaian perkhidmatan dalam ekosistem kesihatan negara selaras dengan agenda kesihatan nasional serta visi Penang2030,” jelas Fazilah dalam kenyataannya semalam.

 

7164ad5b 654b 49eb bd5c 45810f519de3

Pengurus Pasukan Kelab Bola Sepak Kampung Kit FC, MOHAMMED FAIRUZ ISAHAK pula berazam untuk mengembangkan lagi bakat-bakat bola sepak di Pulau Pinang.

“Saya percaya Pulau Pinang mempunyai ramai pemain berbakat terutamanya di usia muda, cuma perlu dibentuk dengan lebih baik.

18919430 c18f 44f7 a0bf 1fa56697df55

“Justeru, Kampung Kita FC mahu bakat-bakat ini dapat dikembangkan lagi termasuk pasukan senior seterusnya menang di kejohanan-kejohanan yang kita sertai,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara.

6463d96f 3e71 4882 871e fa058fee1665

Sementara itu Penyelarasan Yayasan TYT, ISMALISA ISHAK bertekad mahu melakukan yang terbaik dalam membantu melaksanakan projek dan program yayasan.

“Seperti mana yang orang ramai tahu, Yayasan TYT banyak melakukan kerja-kerja amal membantu masyarakat terutamanya yang memerlukan.

“Jadi ia menuntut kerja keras yang lebih gigih, usahan dan kreativiti dalam melaksanakan tugasan ini dalam mencurahkan bakti kepada masyarakat,” maklum beliau ketika dihubungi.

88886f1d 9076 4c8c 95d1 74a14ef2263b

Pengamal media, SITI AMINAH MOHD. YUSOF berazam mahu lebihkan aktiviti fizikal pada tahun hadapan.

“Saya juga berazam mengelakkan untuk melakukan aktiviti yang boleh menjurus kepada pembaziran masa dan wang seperti membeli-belah online.

“Saya berharap dapat mengurus masa dengan lebih sistematik supaya setiap detik kurniaan Ilahi tidak berlalu dengan sia-sia di samping menjadi insan yang lebih bersyukur, menjaga percakapan dan menghargai orang-orang di sekeliling saya,” komen Siti Aminah.