Bacaan IPU Pulau Pinang sederhana, elakkan pembakaran terbuka – Exco

Admin
whatsapp image 2024 07 24 at 10.32.17

DATA yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 12.00 tengah hari hari ini menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pulau Pinang berada pada tahap sederhana.

 

22aad8d8 762a 48ab 8a22 725b57096561 768x512
S. Sundarajoo.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo ketika dihubungi memaklumkan bahawa bacaan IPU di empat stesen iaitu di Seberang Jaya adalah pada tahap 76; Seberang Perai (67); Minden (67) dan Balik Pulau (68).

 

“JAS Pulau Pinang memaklumkan bahawa tiada sebarang aduan berkaitan jerebu teruk diterima semalam (23 Julai 2024),” ujarnya.

 

Semalam, terdapat laporan di beberapa platform media sosial yang menunjukkan bahawa bacaan IPU mencecah sehingga 155 iaitu tahap tidak sihat berdasarkan petunjuk status kualiti udara.

 

Walaupun begitu, Sundarajoo memberitahu bahawa JAS Pulau Pinang sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa.

 

“Malah, pasukan JAS Pulau Pinang juga telah digerakkan ke seluruh daerah bagi membuat hebahan kepada umum agar tidak melakukan pembakaran terbuka.

 

“Ini termasuk rondaan harian yang juga diadakan pada hujung minggu untuk meminta kerjasama semua pihak supaya mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka.

 

“(Dan) sekiranya terdapat sebarang aktiviti pembakaran terbuka, orang ramai boleh melaporkan kepada JAS di talian hotline 1-800-88-2727,” jelasnya.

 

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

 

dsc 5776 2 870x522
DANIEL Gooi Zi Sen.

Dalam pada itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menasihati orang ramai agar mengurangkan aktiviti fizikal di luar.

 

“Saya ingin meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan dan menggunakan pelitup muka sekiranya kualiti udara tidak sihat.

 

“(Dan) jika terdapat apa-apa simptom berkaitan sistem pernafasan seperti asma atau sukar untuk bernafas maka segeralah ke klinik untuk mendapatkan nasihat serta rawatan doktor,” sarannya.

 

Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan menyangkal dakwaan bahawa kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong baru-baru ini menjadi punca berlakunya jerebu.

 

“Kes kebakaran tersebut telahpun selesai dan bukan penyebab utama berlakunya jerebu teruk, lagipun IPU masih dalam keadaan terkawal,” katanya.

 

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang JAS di http://apims.doe.gov.my atau memuat turun aplikasi rasmi MyIPU di Google Play bagi mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN