MACHANG BUBOK – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berharap lebih banyak badan korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil melaksanakan kerja pemuliharaan semula sungai-sungai di sekitar bahagian Seberang Perai.
Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia bertemakan ‘Sungai Kita 2030’ pada 16 September lalu.
“Pemuliharaan semula sungai mestilah seiringan dengan kerja-kerja landskap sesuai, supaya menjadi tumpuan utama serta kebanggaan penduduk di Seberang Perai.
“Sebab itu, kita (MPSP) berharap lebih banyak lagi pihak tampil melaksanakan program CSR (tanggungjawab sosial korporat), menyediakan bola tanah (mudballs) untuk kerja-kerja menjernihkan kembali air, dengan menjadikan sungai-sungai di Seberang Perai ini sebagai ‘sungai angkat’,” jelasnya di Hutan Lipur Cheruk Tok Kun di sini.
Menurut Rozali, syarikat South Island Garment Sdn. Bhd. dan Amstrong Industrial Company Ltd. telahpun menjadikan Sungai Derhaka dekat Seberang Jaya sebagai ‘sungai angkat’; selain Sungai Junjung Mati (Amphenol TCS (M) Sdn. Bhd.) dan sekitar kawasan Perai (Uchi Electronics).
“Syarikat-syarikat ini telah mengambil inisiatif membuat bebola tanah untuk dilontar ke dalam sungai tersebut setiap bulan,” ujarnya, sambil mensasarkan kualiti air di ketiga-tiga sungai tersebut mencapai paras 1 pada tahun 2030 nanti.
Tambah Rozali, sebanyak 25,600 bola tanah dihasilkan dalam tahun 2016, dan 2017 (28,930).
Sempena sambutan Hari Sungai Sedunia 2017, beliau menyatakan bahawa MPSP dengan kerjasama Water Watch Penang serta sokongan dari Global Environment Centre dan National River Care menganjurkan pertandingan melukis serta mewarna peringkat sekolah rendah seluruh Seberang Perai, demi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai peri penting memulihara sungai untuk generasi masa depan.