Baderul Amin angkat sumpah jawatan Datuk Bandar MBSP baharu

Admin
img 20240626 wa0096

SEBERANG JAYA – Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar yang baharu hari ini.

Lafaz sumpah penerimaan jawatan dilakukan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa.

Turut hadir, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP dan ketua-ketua jabatan MBSP.

Pelantikan Baderul Amin adalah bagi menggantikan Dato’ Azhar Arsyad yang telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa 24 Jun lalu.

img 20240626 wa0090

img 20240626 wa0094

img 20240626 wa0102

img 20240626 wa0106

 

 

 

Bercakap kepada pemberita, Kon Yeow memberitahu bahawa susulan pengosongan kerusi Datuk Bandar MBSP yang berlaku dalam masa agak singkat, Kerajaan Negeri perlu mengisi kekosongan jawatan tersebut dengan segera supaya momentum pentadbiran tidak terganggu.

“Walaupun dalam masa yang singkat, ini bukan bermakna Kerajaan Negeri tidak mempunyai calon yang layak.

“Pelantikan ini adalah kesinambungan bagi Datuk Bandar yang baharu kerana beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bandaraya, pengarah kejuruteraan dan telah berkhidmat di MBSP selama 33 tahun.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan iltizam serta komitmen yang ada pada diri beliau sudah mencukupi untuknya menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar MBSP yang baharu,” katanya pada sidang media usai Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar MBSP dekat Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa sejak tahun 2008, MBSP berjaya menunjukkan pencapaian cemerlang walaupun berdepan pelbagai cabaran memandangkan Seberang Perai merupakan kawasan PBT yang terbesar di negara ini.

“Seperti yang saya sering tekankan bahawa masa depan Pulau Pinang adalah di Seberang Perai.

“Namun, seiring dengan kerancakan pembangunan kawasan Seberang Perai, ia juga telah membawa kepada masalah kekangan infrastruktur, dan cabaran inilah yang kini diletakkan di bahu Datuk Bandar yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Baderul Amin memberitahu bahawa beliau akan terus menumpukan kepada tiga perkara utama iaitu dalam aspek pembersihan, penguatkuasaan dan peningkatan hasil bagi MBSP.

“Saya ingin ketengahkan konsep Back To Basic, yang mana kita kembali melihat hakiki tanggungjawab sebuah PBT.

“Isu pembersihan, penguatkuasaan dan kewangan (hasil) adalah cabaran utama yang perlu dititikberatkan.

“Di samping itu, kita juga mahu menjadikan MBSP sebagai kawasan PBT yang lebih berdaya saing dan mampu menarik minat kehadiran pelancong serta pelabur.

“Inilah hala tuju MBSP, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran besar tetapi itu bukan halangan bagi kami,” jelasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri atas pelantikan tersebut.

Baderul Amin,58, mula berkhidmat dengan MBSP sejak tahun 1991 sebagai jurutera dan dilantik sebagai Timbalan Pengarah Kejuruteraan.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Kejuruteraan sebelum diangkat ke jawatan Setiausaha Bandaraya MBSP pada April 2022.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS