PINANG TUNGGAL – “Terasa bagai nak luruh jantung, tak tahu nak kata apa, kira-kira jam 1 pagi bergegas pulang dari (bahagian) Pulau apabila dapat panggilan daripada jiran, beritahu rumah tempat saya dan mak saudara menyewa ini terbakar.”
Demikian jelas Sofea Yasim, 46, ketika diziarahi Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di sini pada petang tadi.
Sofea, peniaga kecil di Kompleks Penjaja Bertam memberitahu bahawa kira-kira 70 peratus bahagian bumbung kediaman serta tiga unit rumah kluster lain dekat Persiaran Seksyen 6/30 Taman Putra Bertam dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal di sini hangus dijilat api dalam kejadian kira-kira 12:45 pagi tadi (27 Jun 2020).
“Menurut (Jabatan) Bomba (dan Penyelamat Malaysia, JBPM), punca kebakaran adalah lintar pintas dari salah sebuah rumah di sini.
“Saya bersyukurlah kepada Allah kerana saya dan mak saudara selamat.
“Terima kasih kepada ADUN Pinang Tunggal (Ahmad Zakiyuddin) dan agensi negeri kerana menyalurkan bantuan kecemasan begitu cepat, dalam tempoh tak sampai 24 jam,” jelasnya semasa ditemu bual pemberita.
Sebelum pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat memberitahu sehingga kini RM1,000 daripada Tabung Bantuan Bencana TYT telahpun diserahkan masing-masing kepada keempat-empat keluarga mangsa kebakaran tersebut.
“Bantuan yang biasa disalurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Tabung (Bantuan Bencana) TYT dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) telahpun diserah tadi.
“Mungkin Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga akan salurkan kerana semua keluarga yang terlibat adalah orang Islam,” jelasnya yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam sidang media bersama-sama Penghulu Kawasan, Sayuthi Ismail.
Sementara itu, Muhasdey Muhammad iaitu Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri I pula memberitahu bahawa Ahmad Zakiyuddin turut mengeluarkan peruntukan peribadi antara RM300 hingga RM500 untuk disumbangkan kepada keempat-empat wakil rumah yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Sebelum itu, wakil JKM Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Rosnah Shafie memberitahu pihaknya telahpun menyerahkan RM300 kepada semua keluarga mangsa.
“Kita (JKM daerah) akan mempertimbang untuk memberi bantuan pemulihan secara sekaligus selepas ini, bergantung pada kelayakan mangsa yang rumah mereka terbakar sahaja,” jelasnya.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB