‘Baik hati’ Azizul bantu golongan terpilih diiktiraf Kerajaan Negeri

AZIZUL Abdul Rahim semasa sesi wawancara di KOMTAR pada 21 Oktober 2022.

PERCAYA atau tidak, sudah 11 tahun beliau mengambil insiatif sendiri dengan mengutip RM2 atau RM1 sumbangan daripada rakan-rakan sekerja di samping bantuan barang-barang keperluan asasi untuk diagihkan kepada golongan terpilih sekitar Parlimen Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Permatang Pauh.

Bersikap hati baik, padanlah Azizul Abdul Rahim,38, melakukan kerja amal kebajikan tersebut dengan dibantu anak perempuannya selepas waktu kerja semasa tempoh pendemik telah mendapat perhatian beberapa akhbar arus perdana dan laman Facebook tertentu.

Malah, pada 17 Oktober lepas, Azizul yang juga kakitangan Unit Upcycle di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri hari ini.

AZIZUL Abdul Rahim menunjukkan sijil Love Penang Community Awards yang diterima daripada Ketua Menteri di Komtar pada 17 Oktober lepas.

Selepas dicalonkan, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 17 Oktober lalu menyampaikan Love Penang Community Awards kepada Azizul dalam majlis berkaitan yang berlangsung di Tingkat 51, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Pada pagi ini, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan NOOR SITI NABILAH NOORAZIS (jurugambar) berpeluang menemuramah insan berkenaan di sini.

Mulanya, Azizul berat hati juga untuk berkongsi lanjut mengenai kerja amal kebajikannya, yang disifatkan sebagai fardu kifayah.

Namun, selepas dipujuk, beliau dalam nada sederhana memberitahu bahawa amal tersebut tidak akan berjaya sekiranya rakan-rakan sekerja di Depo Pembersihan Tasek Gelugor MBSP tidak menyumbang RM1 atau RM2 setiap bulan.

“Saya ini Mandor Kanan di MBSP, kerja amal ini mula sejak 11 tahun lepas, mulanya saya guna duit gaji saya dahulu untuk bantu ibu tunggal, pesakit kronik dan warga emas terpilih.

“Kerja amal ini, saya mula di tempat saya bertugas iaitu di Tasek Gelugor, selepas itu adalah saya buat kutipan atas nama ‘Bekerja Sambil Beramal’ dalam kalangan kawan-kawan di tempat kerja.

“Sebulan sekali, kawan-kawan di tempat kerja masing-masing secara ikhlas ada yang menyumbang RM2 atau RM1.

“Dalam sebulan, boleh kutip sekitar RM150 , dengan sumbangan itu, dapatlah membantu dua tiga keluarga terpilih dalam bentuk barang dapur,” jelasnya.

Beliau memberitahu bahawa setiap hari bekerja, beliau bekerja mulai 7.00 pagi hingga 4.00 petang.

Lazimnya, segala kerja amal kebajikan ini akan dilaksanakan selepas waktu bekerja, iaitu sesudah solat Asar, bergantung kepada jumlah dana yang berjaya dikutip atau sumbangan orang perseorangan dalam bentuk barang-barang keperluan asasi.

“Saya memang buat sendiri dengan dibantu kawan-kawan, buat masa ini tidak melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semua kerja amal ini dilakukan selepas waktu bekerja.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud iaitu mantan Datuk Bandar MBSP, Datuk Bandar MBSP sekarang (Dato’ Azhar Arshad) dan Tuan Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin (Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBSP) turut memberi sokongan apabila mengetahui kerja amal saya dan kawan-kawan lain semasa tempoh pandemik COVID-19,” jelasnya.

Katanya lagi, kerja amal yang dilakukan ini sebenarnya adalah secara kecil-kecilan sahaja, cuma semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendapat liputan beberapa media arus perdana dan pemengaruh media sosial.

“Semasa PKP memang ramai yang membantu kerja amal ini, selepas viral dalam akhbar Harian Metro, Penangkini (laman Facebook) dan The Malay Mail Edisi Kuala Lumpur.

“Setakat ini, setiap bulan dalam 25 hingga 30 orang memang telah ada dalam senarai untuk saya bagi sumbangan pada hujung bulan.

“Lazimnya saya juga mendapat bantuan dalam bentuk barang-barang untuk diagihkan kepada individu terpilih ini, jarang kita terima wang tunai dalam jumlah yang banyak (melainkan sumbangan RM2 atau RM1 daripada rakan-rakan sekerja).

“Sebabnya, tumpuan saya memang agih barang-barang keperluan asas di dapur daripada bagi sumbangan dalam bentuk duit sebab warga emas dan golongan sakit kronik umpamanya memang ada kekangan untuk ke kedai sendiri bagi membeli barang-barang keperluan mereka,” jelasnya lagi.

Pernah suatu masa, katanya lagi, ada satu pihak pernah menawarkan beliau menjadi Pengerusi Badan Asnaf Negeri Pulau Pinang, tetapi ditolak dengan penuh santun kerana ada kerja hakiki di pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Mengakhiri wawancara, beliau senantiasa mengingati diri bahawa di sebalik kerja amal kebajikan ini bukanlah untuk mencari nama, walaupun kadangkala terpaksa memuat naik gambar di media sosial peribadi.

“Kadang-kadang memang kita tidak mahu pamerkan gambar-gambar barang sumbangan di media sosial peribadi.

“Bagi saya, buat kerja amal kebajikan ini bukan untuk menunjuk kepada orang ramai.

“Kadang-kadang, saya memuat naik gambar di Facebook peribadi bukan untuk ‘menunjuk’…orang bagi sumbangan barang dan duit ringgit, jadi saya tunjuk hasil kerja sumbangan mereka ini sahaja,” jelasnya.

Bagi mereka yang berminat untuk tahu lebih banyak bagaimana kerja-kerja amal kebajikan secara kecil-kecilan dengan niat membantu komuniti sekeliling, boleh menghubungi Azizul dalam talian 012-437 5135.

END