Baik pulih cerun di Lorong Bukit Kukus bernilai RM6.8 juta siap

Admin
img 3295

PAYA TERUBONG – Kerja-kerja baik pulih cerun di atas Lot 9444 berhampiran Grand View Heights, Lorong Bukita Kukus dengan kos RM6.8 juta kini siap sepenuhnya.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) telah meluluskan peruntukan Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan runtuhan cerun di Lorong Bukit Kukus secara berkala setelah menerima aduan daripada penduduk pada 26 Oktober 2020.

“Setelah kajian dilakukan, kerja-kerja di tapak dimulakan pada Mei 2023 dan siap pada Oktober 2024, sebulan lebih awal.

“Antara skop kerja yang dilakukan termasuklah rock bolting, soil nailing, pemasangan rockfall flexible barriers, rockfall netting, baik pulih sistem perparitan dan penurapan jalan serta pemasangan lampu di jajaran sepanjang 500 meter,” katanya ketika melawat lokasi di hadapan Grand View Heights di sini pagi tadi.

img 3299

 

Turut hadir, Setiausaha Bandaraya Majlis Bandraya Pulau Pinang (MBPP), Sr. Cheong Chee Hong dan Jurutera Kanan Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. Mohd. Hanafi Mohd. Yaacob.

Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga telah mengambil beberapa langkah bagi  menjamin kesejahteraan dan keselamatan orang awam, harta awam dan persekitaran di kawasan terbabit.

“Antaranya adalah dengan mewujudkan Penang Safety Guideline for Hill Site Development, mewujudkan Garis Panduan Keselamatan Aktiviti Pertanian di Kawasan Berbukit Pulau Pinang 2021 dan mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantauan kawasan cerun-cerun bukit dari semasa ke semasa.

“Selain itu, kita juga telah mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Akta atau Enakmen yang diguna pakai oleh Kerajaan Negeri bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemilik tanah di kawasan cerun-cerun bukit yang tidak mendapat kelulusan.

“Langkah ini adalah untuk memastikan semua cadangan pembangunan di kawasan cerun-cerun bukit tidak melebihi ketinggian 76meter dari paras laut dan footprint bangunan hendaklah berada di atas cerun kelas 1 dan kelas 2 sahaja seperti yang tercatat di dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2030,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga itu lagi.

Semntara itu, Mohd. Hanafi ketika bercakap kepada pemberita memberitahu bahawa MBPP akan menjalankan penyelenggaraan berkala di kawasan tersebut dalam memastikan pokok-pokok di kawasan pemasangan pagar tidak merosakkan hadangan yang dibina.

 

img 3297

“Ini demi memastikan pemasangan pagar ini berfungsi dengan baik sekiranya berlaku runtuhan batu serta mengurangkan kesan negatif,” katanya.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI