AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai memaklumkan bahawa beliau akan menulis surat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang bagi mengutarakan isu-isu berkaitan kerosakan infrastruktur dan jalan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan.
Menurutnya, melalui pemantauan yang dijalankan mendapati terdapat kira-kira 17 lokasi yang tidak mempunyai penutup longkang serta pagar pemisah sempurna di kawasan seliaan JKR.
“Kawasan-kawasan tersebut juga adalah lokasi yang sering dinaiki air, saya bimbang jika berlaku banjir, orang ramai tidak menyedari kewujudan lubang-lubang itu dan kemungkinan berlaku kemalangan.
“Selain itu, saya juga difahamkan pihak Kerajaan Negeri bersetuju menyalurkan dana RM200,000 bagi membaiki jambatan di Happy Valley yang rosak teruk akibat banjir pada 15 September lalu.
“Buat sementara waktu, laluan tersebut tidak dapat dilalui oleh kenderaan sama ada kereta atau motosikal,” ujarnya pada satu sidang media di sini 21 September lalu.
Hon Wai dalam pada itu, memuji tindakan JKR yang melakukan penurapan jalan selepas Wisma Yatim Lelaki Islam Pulau Pinang hingga ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Min Cawangan 2 yang merupakan Jalan Persekutuan.
“Walaupun masih ada sedikit bahagian yang masih berlubang, namun bahagian paling teruk sudah pun dibaiki, dan saya akan terus lakukan pemantauan supaya jalan dapat siap segera demi keselamatan pengguna,” katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.