Bajet 2022 : RM10juta galakkan penggunaan pengangkutan awam dapat sambutan, saran tingkatkan promosi

BAJET 2022 Negeri Pulau Pinang yang dibentangkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 26 November 2021 lalu antara lain memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi memperkasakan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat di negeri ini.

 

 

Malah, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk meneruskan pembiayaan empat program membabitkan pengangkutan awam iaitu perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST), Bas Percuma Congestion Alleviation Transport (CAT), Pas Perjalanan Tanpa Had My30 atau Pas Mutiara dan membiayai tambang feri Pulau Pinang.

 

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurufoto CHAN KOK KUAN cuba mendapatkan reaksi umum mengenai inisiatif tersebut.

 

Bagi SITI HAJAR ABDUL RAHIM, beliau sama sekali bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri dalam mempromosikan pengangkutan awam.

 

 

Namun, katanya, usaha mempromosikan perkhidmatan tersebut perlu diperkasakan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia.

 

 

“Pada pendapat saya, Kerajaan Negeri membuat satu pelaburan yang bijak dan banyak untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam.

 

“Cuma usaha perlu digerakkan ke arah promosi agar rakyat negeri ini lebih cakna tentang perkhidmatan yang memberikan manfaat terutamanya yang berulang-alik dari Seberang Perai ke pulau.

 

 

“Selain itu kajian menyeluruh seperti hab mengambil dan menurunkan penumpang perlu dilakukan pada peringkat pengguna supaya ia betul-betul sampai kepada golongan sasar,” ujarnya yang juga menggunakan perkhidmatan feri untuk ke tempat kerja di George Town.

 

 

Selain itu, beliau melihat usaha tersebut merupakan satu langkah positif mengurangkan jejak karbon apabila penggunaan kenderaan persendirian dapat dikurangkan.

Senada dengan Siti Hajar mengenai promosi adalah seorang lagi perunding kewangan, MOHD. KHAIRUL AZAM AKHIR.

 

“Usaha menguar-uarkan tentang perkhidmatan tersebut harus diperkasakan lagi melalui media sosial, media cetak dan media elektronik.

 

“Walaupun saya telah mengetahui tentang perkhidmatan tersebut, masih ada individu tidak mengetahui tentang wujudnya perkhidmatan ini.

 

“Orang ramai juga harus mengikis sikap malu naik pengangkutan sebaliknya menggunakannya secara optimum agar bajet yang disediakan ini sampai kepada rakyat,” maklum anak jati Balik Pulau itu.

Bagi TAN LIANG HONG yang merupakan salah seorang pengguna pengangkutan awam dari Seberang Perai ke bahagian pulau, memuji usaha terbabit.

 

 

Katanya, menggunakan perkhidmatan awam membolehkannya berehat tanpa perlu memikirkan tentang kesesakan lalu lintas.

 

 

“Sekarang juga lebih mudah, ada aplikasi yang membolehkan kita tahu lokasi bas berada untuk sampai ke destinasi pengguna.

 

 

“Jumlah bas yang ada kini juga mencukupi, namun sekiranya mendapat sambutan, tidak salah rasanya Kerajaan Negeri pertimbangkan untuk menambah bilangan bas,” sarannya yang berkhidmat dalam sektor swasta itu.

 

 

Apabila Kerajaan Negeri mengambil serius memperkasakan pengangkutan awam, kini tiba masanya rakyat menyahut seruan tersebut, kongsi Presiden The Society of Logisticians Malaysia, Prof. Ts. CHANG KAH LOON.

 

Mengulas mengenai statistik penggunaan pengangkutan awam, katanya ia cuma berada pada tahap  lima peratus sahaja.

 

 

Beliau akui, pelaksanaan bas percuma memang tidak dapat menaikkan statistik tersebut kepada 50 peratus sekali gus, namun dipertingkatkan secara berperingkat.

 

 

“Syarikat yang diberi tanggungjawab seperti Rapid Penang dan pengurusan feri juga perlu membantu usaha Kerajaan Negeri ini melalui promosi.

 

 

“Kalau tiada promosi ia akan jadi sia-sia dan tidak berbaloi dengan perbelanjaan tersebut.

 

 

“Dalam menarik lebih ramai, pengusaha juga perlu meningkatkan tahap penjagaan prosedur operasi standard (SOP) supaya orang ramai lebih yakin menggunakannya.

 

 

“Bagi menarik golongan muda pula, pemasangan wifi berkelajuan tinggi adalah sangat perlu agar tidak terlalu bosan di dalam pengangkutan awam,” katanya lagi.

 

 

 

Seorang lagi responden, MOHAMAD TAHIR MAT ZAIN, berpendapat bahawa usaha tersebut merupakan langkah positif dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam terutamanya waktu puncak.

 

 

“Walau bagaimanapun kekerapan operasi feri (motosikal) perlu dipertingkatkan agar masa menunggu lebih singkat pada waktu puncak.