Bajet 2024 MBSP : Peruntukan lebih RM15 juta tingkat daya huni hadapi risiko banjir – Datuk Bandar

Admin
SUASANA dewan di Menara Bandaraya di sini semasa perbentangan Bajet 2024 MBSP pada 13 September 2023.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memperuntukan RM7 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan parit monsun dan kolam takungan pada tahun hadapan, sementara RM1.78 juta lagi untuk penyelenggaraan rumah pam dan kawalan banjir.

AZHAR Arshad (atas, tengah) semasa membentangkan Bajet 2024 MBSP di Menara Bandaraya di sini pada 13 September 2023.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata pentadbirannya berharap peruntukan tersebut akan meningkatkan lagi daya tahan dan daya huni bandar raya Seberang Perai.

Selain itu, beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan akan memanfaatkan peruntukan Wang Caruman Pemaritan sebanyak RM7.74 juta untuk projek serta rancangan kawalan banjir.

“(Wang Caruman Pemaritan ini akan dimanfaatkan) bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Seberang Perai serta mengelak kerosakan harta benda dan mengurangkan masalah sistem pengairan yang tidak efisien,” jelasnya semasa membentangkan Bajet MBSP 2024 di Menara Bandaraya di sini pada 13 September 2023.

Tidak cukup sekadar itu sahaja, beliau berharap dengan peruntukan RM1.5 juta bagi menggantikan mesin angkut sampah di Rumah Pam Perai B dan Rumah Pam Taman Mangga turut meningkatkan daya tahan serta daya huni penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Untuk rekod, anggaran perbelanjaan keseluruhan MBSP bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM378,492,350 dengan defisit kira-kira RM38,828,700.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB