GEORGE TOWN – Kira-kira RM6.93 juta diperuntukan oleh Kerajaan Negeri melalui Belanjawan Pulau Pinang 2025 bagi meningkatkan kemampanan negeri serta mewujudkan masyarakat yang berdaya tahan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti produk pertanian di negeri ini.
“Pada tahun ini, Jabatan Pertanian (Negeri Pulau Pinang) telah menerima peruntukan pembangunan sektor agromakanan berjumlah RM6.93 juta oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan 14 projek pertanian.
“Daripada jumlah itu, dua projek lagi adalah untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur pengoperasian jabatan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas dekat sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) bagi memacu pembangunan sektor pertanian negeri.
“Dasar ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada penghasilan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan, tetapi juga untuk memastikan bahawa bekalan makanan dapat diakses oleh seluruh rakyat.
“Justeru, pelaksanaan projek seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, TKPM Mayfield, Taman Agro Batu Kawan (Juru) dan Taman Pertanian (Agropark) Permatang Pauh telah menjadi langkah strategik penting dalam memperkasakan usaha dan agenda keterjaminan makanan di negeri ini,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Tambah Kon Yeow, bagi meningkatkan kemampanan sektor ternakan di negeri ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) komited menunjukkan prestasi stabil dalam memastikan industri penternakan kekal mampan.
“Seterusnya, bagi meningkatkan kemampanan sektor ternakan di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri sentiasa komited dalam memastikan industri penternakan terutamanya penternakan ruminan di negeri ini berdaya saing dan mampan.
“Perkara ini dapat dilihat apabila Nilai Hasil Ternakan (NHT) terus menunjukkan prestasi yang stabil sejak tahun 2019, dengan perolehan melebihi RM 1 billion setiap tahun,” ulasnya lanjut.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Pulau Pinang juga telah memberikan sumbangan signifikan kepada sektor akuakultur negara, dengan nilai pengeluaran mencapai RM429.47 juta pada tahun 2023, melalui hasil tangkapan sebanyak 60,562.79 tan metrik.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & DARWINA MOHD. DAUD.