Bajet 2030 Pulau Pinang, RM4.5 juta geran pacu pendigitalan Kerajaan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Demi memacu pendigitalan Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mencadangkan peruntukan dalam bentuk geran berjumlah RM4.5 juta pada tahun hadapan kepada Digital Penang iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri hari ini.

Kon Yeow mengumumkan perkara itu semasa membentangkan Bajet 2023 di Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Pinang di sini pada 21 November 2022.

“Selain daripada memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan perkongsian dan sumber luaran, ‘Research & Development’ (R&D) serta ‘Embedded Software’, Pulau Pinang juga komited menerajui industri ekonomi digital sebagai pemacu baharu ekonomi negeri,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyatakan bahawa pentadbirannya turut akan memberi tumpuan kepada teknologi generasi baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), ‘big data’, Internet of Things (IoT), ‘Integrated Circuit’ (IC) Design’ dan sebagainya.

“(Bukan setakat itu sahaja,) industri ekonomi digital (yang mahu dipacu di negeri ini) termasuk pelaburan melibatkan perkhidmatan perkongsian serta sumber luaran dengan pelaburan baharu dan sedia ada daripada syarikat-syarikat seperti AMD Global Services, Clarivate, Citigroup, Jabil, Teleperformance, Synapse, Starfive, UST Global dan banyak lagi yang dianggarkan telah mewujudkan lebih 16,000 pekerjaan bernilai tinggi di negeri Pulau Pinang setakat ini,” ujarnya.

Selain itu, Kon Yeow turut memberitahu bahawa Bajet 2023 Pulau Pinang turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.66 juta demi memperkasa lagi kempen keusahawanan sebagai budaya di negeri ini.

“Kerajaan Negeri telah melancarkan slogan atau tagline ‘Keusahawanan Satu Budaya’ yang mana program keusahawanan telah dilaksanakan mulai Julai 2022 dan akan diteruskan sehingga Jun 2023,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI