Bajet MBPP tumpu lima perkara, peruntukan terbesar untuk kebersihan bandar raya – Datuk Bandar

Admin
d197e75d b8c0 437e 86ce affcdeaa0e84 DATUK Bandar MBPP

GEORGE TOWN – Bagi tahun 2025, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan memberi lebih tumpuan pada aspek kebersihan bandar raya dengan anggaran perbelanjaan kira-kira RM61.35 juta.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata pada masa yang sama pentadbirannya akan memberi fokus pada empat perkara lain iaitu kesihatan dan kehijauan (RM22.25 juta), mobiliti (RM15.72 juta), bandar raya pintar (RM22.63 juta), perekonomian (RM33.32 juta); dan lain-lain (RM7.37 juta).

Beliau mengumumkan perkara itu semasa membentangkan Bajet 2025 MBPP di Dewan Bandaraya dekat Jalan Kota Lama di sini pada 11 September 2024.

7b336579 c385 41cf 88f8 8affa9481e4e
SUASANA semasa sesi perbentangan Bajet 2025 MBPP di Dewan Bandaraya di sini pada pagi tadi.

“Bagi membangunkan pengurusan sisa dan pembersihan awam secara mapan, peruntukan kewangan sebanyak RM58.16 juta telah disediakan.

“Jumlah ini merangkumi perkhidmatan pembersihan jalan, parit, tanah lapang, dan kemudahan tandas awam, serta kutipan sampah dari premis hingga ke tapak pelupusan akhir.

“Daripada jumlah tersebut, RM0.5 juta dikhususkan untuk penyelenggaraan tandas awam dan RM100,000.00 diperuntukkan untuk program-program kitar semula,” ujarnya lagi.

Demi memupuk semangat cintakan alam dan kebersihan kawasan sekitar dalam kalangan masyarakat, Rajendran berkata MBPP telah memperuntukkan sejumlah RM150,000 khususnya bagi penganjuran Sambutan Hari Pembersihan Sedunia (World Clean Up Day) yang diadakan pada bulan September setiap tahun.

Selain itu, beliau berkata MBPP sepanjang tahun depan juga memperuntukkan RM120,000 bagi menaik taraf pusat-pusat sampah.

Menurutnya lagi, MBPP menganggarkan perbelanjaan keseluruhan tahun 2025 adalah kira-kira RM466.31 juta yang mana mengikut pecahan perbelanjaan pengurusan sejumlah 85.48 peratus atau RM398.60 juta berbanding perbelanjaan pembangunan (RM67.71 juta atau 14.52 peratus).

“Bajet 2025 akan melibatkan anggaran hasil sebanyak RM433.28 juta berbanding dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 466.31 juta.

“Ini bermakna Bajet 2025 merupakan satu bajet defisit sebanyak RM 33.03 juta,” jelasnya sambil memberitahu bahawa belanjawan pada kali ini adalah selari Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), Bandar Mesra Usia dan Visi Penang2030.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT