PADANG KOTA – Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan bersama-sama beberapa rakan strategik bagi pelaksanaan kursus terapi cara kerja melibatkan sekolah yang menyediakan pendidikan khas.
Exco Belia dan Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen ketika ditemui berkata, pendekatan tersebut merupakan salah satu cara membantu golongan khas tersebut dan guru-guru terlibat.
“Dalam tahun ini kita (Kerajaan Negeri) masih berbincang dan harap boleh mula dilaksanakan pada tahun hadapan (yang mana) kita akan mulakan jelajah memberi latihan khusus kepada guru-guru berkaitan.
“Kita mahu guru-guru ini mahir dalam terapi cara kerja, ia bukanlah satu perkara yang mudah, saya difahamkan mengawal seorang murid khas ini ibarat memerlukan stamina seperti menjaga 10 ke 15 murid biasa,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia 2023 di Padang Kota di sini pagi tadi.
Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Dr. A. Lingeshwaran; Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Farina Zulkernain; Ketua Profesion Terapi Cara Kerja KKM, Nora Hamid dan Presiden Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia, Prof. Madya, Dr. Ahmad Zamir Che Daud.
Menyentuh mengenai infrastruktur, menurut Zi Sen, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan akan senantiasa mengenal pasti keperluan dan kemudahan sewajarnya terutamanya melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU).
“Difahamkan juga apa-apa permohonan untuk projek kini perlu ada kemudahan melibatkan OKU seperti ‘ramp’ dan sebagainya sebelum diluluskan,” katanya kepada pemberita.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD