GEORGE TOWN – Sebagaimana dihasratkan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pentadbirannya akan mempertimbangkan cadangan mewujudkan suatu tempat khas sekitar Komtar untuk para pengamal media memproses bahan pelaporan berita mereka.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Malam Apresiasi Media dan Anugerah Berita Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di salah sebuah hotel dekat sini pada 8 November 2023.
“Isu-isu yang dibangkitkan (oleh Kelab Media Mutiara Pulau Pinang) iaitu mencari ruang untuk digunakan untuk menghantar berita kepada ibu pejabat… mungkin kita (Kerajaan Negeri) boleh fikirkan suatu ruang untuk pengamal media di sekitar Komtar,” ujarnya.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berkata pihaknya sedar mengenai pelbagai cabaran yang sedang didepani oleh para pengamal media di negeri Pulau Pinang terutama sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira tiga tahun lepas.
Sebelum itu, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Mohd. Iskandar Othman semasa berucap antara lain mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan suatu tempat khusus untuk para pengamal media memanfaatkan bagi memproses bahan pelaporan berkaitan.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat; dan Timbalan Dekan Akademik Kerjaya dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh dan barisan penaja lain antara yang turut serta dalam majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS