Bakat mencukupi mampu tangani salah padan kerjaya sektor industri negeri, kata Exco

Admin
LAWATAN kerja Jagdeep Singh Deo ke FoundPac, Bayan Lepas pada 25 Oktober 2023.

BAYAN LEPAS – Kementerian Sumber Manusia wajar menyediakan lebih banyak program insentif bagi menyediakan lebih ramai bakat terutama mereka yang layak direkrut sebagai juruteknik dalam sektor perindustrian di negeri ini, sekali gus menangani isu salah padan kerjaya pada masa hadapan.

JAGDEEP Singh Deo

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi berkata demikian kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan ke firma semikonduktor FoundPac Technologies Sdn. Bhd. (FoundPac) dekat Zon Perindustrian Bayan Lepas 4 di sini pada 25 Oktober 2023.

“Mungkin di Pulau Pinang memerlukan sebuah badan bagi memantau semua pemain industri supaya pada satu-satu masa kita dapat memantau berapa ramai jurutera, juruteknik dan operator yang diperlukan.

“Kepada Kerajaan Persekutuan, saya berpendapat telah sampai masanya kita perlu melihat secara serius aspek pengembangan kemahiran serta modal insan kekurangan sesegera mungkin.

“Ini kerana, sebelum pemain industri membuat keputusan untuk melabur atau tidak di negeri Pulau Pinang, persoalan utama dan pentingkan yang akan mereka bangkitkan adalah di negeri ini mempunyai cukup bakat bagi memenuhi permintaan industri yang bakal mereka buka,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Menjawab soalan pemberita, Jagdeep memberitahu ketika ini di Pulau Pinang mempunyai kira-kira 2,000 bakat bertaraf juruteknik sahaja sungguhpun yang diperlukan dalam sektor industri berkaitan adalah sekitar 5,000 orang dan diunjurkan permintaan berganda sehinga 10,000 orang akan wujud dalam tempoh sedekad nanti.

“Seperti usaha yang dilakukan oleh FoundPac, paling penting kita mahu melihat ekosistem perindustrian negeri kita mampu menyerap bakat dalam kalangan rakyat tempatan, maka sebab itu usaha memastikan bakat senantiasa mencukupi wajar dilihat secara bersama,” jelasnya lagi.

ONG Choon Heng

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji Ketua Pegawai Eksekutif FoundPac, Dato’ Ong Choon Heng kerana berjaya melaksanakan program pengembangan modal insan secara langsung dari peringkat operator sehingga lahir empat tenaga kerjaya mempunyai Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dan seorang pemegang ijazah kejuruteraan.

Sebelum itu, Choon Heng memberitahu FoundPac mula beroperasi di sini pada tahun 2004 yang mana sehingga ini mempunyai seramai 388 pekerja bertaraf warganegara serta dua bukan warganegara (Republik Rakyat China dan Jepun).

Untuk rekod, FoundPac Group Berhad merupakan syarikat awam yang tersenarai dalam Bursa Malaysia pada tahun 2016, yang mana ketika ini mencatatkan pendapatan semasa sebanyak RM72.4 juta, keuntungan sebelum cukai RM13.1 juta dan pemodalan pasaran RM243 juta.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD