Bakat Wee Wern jadi perhatian, dilantik ketua jurulatih Filipina bermula Mac ini

Admin
8a583471 9159 43a8 b597 20459222eac8

 

FIGURA bernama LOW WEE WERN bukanlah asing lagi bagi peminat sukan skuasy di Malaysia termasuk pada peringkat antarabangsa.

 

 

 

Pernah menjadi pemain nombor dua wanita negara di belakang ratu skuasy negara, Dato’ Nicol Ann David antara kemuncak karier Wee Wern selain pernah menduduki tangga kelima dunia.

 

 

Namun, kecederaan yang sering dialami beliau dilihat sebagai satu cabaran getir buat anak kelahiran Pulau Pinang ini dalam menggilap kariernya ke tahap lebih tinggi.

 

 

Baru-baru ini, Wee Wern mendapat tawaran istimewa apabila Filipina berminat untuk mendapatkan khidmat beliau selaku ketua jurulatih pasukan skuasy negara tersebut.

 

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan Jurugambar, SIEW CHIA EN sempat menemu bual Wee Wern sebelum beliau berlepas ke Manila, baru-baru ini.

 

Pada mulnya, beliau agak keberatan untuk berkongsi berita tersebut kerana tidak mahu berkata apa-apa sebelum menandatangani kontrak tersebut secara rasmi walaupun surat tawaran sudah dikeluarkan.

23691a0c 4699 4092 840e f782c322b9bb

“Ya betul, saya dijangka menandatangani kontrak tersebut pada 1 Mac 2024 untuk menjadi ketua jurulatih bagi pasukan skuasy Filipina.

 

“Sejurus mengumumkan persaraan saya setelah 16 tahun mengabdikan diri dalam sukan skuasy, saya mendapat tawaran ini saya boleh sifatkan ia sebagai satu penghormatan kepada saya dan juga Malaysia.

 

“Difahamkan, terdapat 12 pemain bernaung di bawah persatuan skuasy Filipina, lima daripadanya adalah pemain professional manakala bakinya adalah separuh masa,” ujar beliau ketika ditemui pada 26 Februari lalu dekat Dewan Skuasy Nicol Ann David, Bukit Dumbar.

22b0c353 4030 485b 9aa5 80624743d795

Dalam pertemuan tersebut, Wee Wern turut ditemani Pengerusi Persatuan Skuasy Pulau Pinang, Datuk Linda Geh dan jurulatihnnya, Aaron Soyza.

 

Selain Filipina, Buletin Mutiara difahamkan Wee Wern turut mendapat tawaran daripada beberapa lagi negara lain walaupun beliau tiada sebarang pengalaman rasmi dalam bidang kejurulatihan.

 

Beliau sebelum ini cuma pernah menngadakan beberapa klinik bagi negara Singapura, Jepun dan China selain membantu Aaron Soyza melatih pemain luar yang datang ke Pulau Pinang.

 

Kejayaan-kejayaan lampau seperti kedudukan kelima pada tahun 2014, memenangi pingat emas dan perak Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, emas berpasukan 2010 di China, empat kali juara Persatuan Skuasy Profesional (PSA), Kejohanan Universiti Dunia dan kejohanan-kejohanan lain dilihat sebagai sandaran pemilihann Wee Wern oleh Filipina.

 

“Di Filipina, skuasy adalah sukan yang sedang meningkat naik dan mendapat perhatian, saya harap pemergian saya ke Filipina dapat membantu sedikit sebanyak meningkatkan prestasi negara tersebut.

 

“Sekiranya saya dapat bantu Filipina tingkatkan kualiti, saya percaya ini sedikit sebanyak membantu mengetengahkan sukan skuasy ke satu tahap lagi,” jelas Wee Wern yang turut pernah layak ke suku akhir pada kejohanan dunia di Pulau Pinang pada tahun 2014.

 

Becerita mengenai pengalaman sepanjang terlibat dalam sukan skuasy, beliau menyifatkan kekalah kepada Laura Massaro pada peringkat suku akhir setelah mendahului 2-1 sebagai pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

 

Walau bagaimanapun, beliau tunduk 3-2 kepada Laura Massaro yang juga juara pada tahun tersebut selepas menundukkan Nicol di separuh akhir sebelum menumbangkan Nour El Sherbini ketika perlawanan akhir.

 

“Rentetan itu, lima hari saya langsung tidak turun ke gelanggang, memang kecewa dengan apa yang terjadi, sebab sudah mendahului pemain nombor dua dunia pada ketika itu.

 

“Tambahan pula, bermain di laman sendiri sudah tentu kita mahu menggembirakan penyokong, keluarga, rakan-rakan pemain dan jurulatih yang meletakkan harapan yang tinggi,” ulas Wee Wern lagi.

 

Wee Wern menutup temu bualnya mengenai empat kecederaan yang dialaminya demi sayang dan cintanya kepada sukan skuasy.

1db6d85d d05d 4d81 a505 ccc3c030d09d

“Lutut kiri saya pernah mengalami ACL (anterior cruciate ligament) dan menjalani pembedahan sebannyak tiga kali manakala lutut kanan melibatkan kecederaan posterolateral corner (PLC) sekali.

 

“Terdapat 12 skru di kedua-dua lutut dan kesan daripada kecederaan yang dialami ini adalah saya tidak lagi boleh berlari pada laluan lurus.

 

“Sebelum menjalani pembedahan pertama, emak ada nasihatkan supaya saya berhenti selepas berjaya menjadi pemain kelima dunia, namun saya pilih untuk bergerak secara profesional setelah memikirkan banyak perkara sekiranya bersara ketika itu,” katanya lagi yang mahu melihat bakat-bakat muda serius memartabatkan semula sukan skuasy di persada dunia.