PULAU TIKUS – Sebanyak lima set komputer yang dilengkapi dengan pencetak disumbangkan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai untuk kegunaan Balai Polis Pulau Tikus di sini.
Menurut Hon Wai, sumbangan bernilai RM20,000 itu bertujuan untuk menambah baik produktiviti tugasan harian anggota dan pegawai di balai polis berkaitan.
“Saya berharap sumbangan set komputer ini akan membantu kerja-kerja harian para anggota polis di sini dan juga sebagai penghargaan kepada jasa mereka,” ujarnya ketika menyerahkan sumbangan berkaitan di Balai Polis Pulau Tikus pagi ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan Sarjan Mejar B. Paramasivan mewakili Ketua Polis Balai Pulau Tikus.
Dalam pada itu, Paramasivan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Hon Wai atas sumbangan set komputer tersebut.
“Terima kasih kepada YB dan saya percaya sumbangan ini akan dapat membantu melicinkan kerja-kerja harian serta menambah baik fasiliti di Balai Polis Pulau Tikus ini,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Hon Wai memberitahu bahawa beliau akan turut serta dalam perbahasan perbentangan Kertas Putih Pertahanan di Parlimen nanti.
Menurut beliau, kertas putih tersebut akan menjadi dokumen pertahanan pertama dalam negara yang mengambil kira semua aspek pertahanan negara termasuk anggota pertahanan.
“Selain Kertas Putih Pertahanan, satu lagi Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) turut dibentangkan dalam Parlimen baru-baru ini.
“RUU ini adalah bagi meningkatkan integriti dan keupayaan pihak polis dalam melindungi orang awam serta menangani salah laku anggota polis.
“Saya juga akan membawa isu kebajikan yang mana perlu ada penambahbaikan sejajar dengan cabaran semasa,” jelasnya yang turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan anggota polis dalam memelihara keamanan dan keselamatan umum.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING