PADANG KOTA – Kebenaran rentas negeri pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diharap mampu merancakkan semula tarikan pelancong ke Balai Seni Lukis Pulau Pinang.
Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin berkata bahawa pihaknya melalui Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu sebagai persediaan menyambut kunjungan pelawat ke balai berkenaan bermula hari ini (13 Jun 2020).
Menurut beliau, Balai Seni Lukis Pulau Pinang telah sedia untuk menyambut kedatangan pelawat.
“Ketika ini, hanya lapan pelawat dibenarkan masuk pada sesuatu masa dalam tempoh masa selama 30 minit.
“Selain mengehadkan jumlah pelawat pada satu tempoh masa tertentu, kanak-kanak berusia 13 tahun dan ke bawah serta warga emas (umur 60 tahun dan ke atas) adalah tidak dibenarkan lagi mengadakan lawatan atas faktor keselamatan khasnya kesihatan.
“Adalah diharapkan pembukaan berkaitan bakal menjadi salah satu tarikan kepada pelancong khususnya di bandar George Town ini,” ujarnya pada sidang media selepas mengiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sesi lawatan dekat Balai Seni Lukis Pulau Pinang di sini tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP); Haryany Mohamad (Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang) dan Lee Khai (Pengerusi Balai Seni Lukis Pulau Pinang).
Kon Yeow dan delegasinya sebelum itu mengadakan lawatan ke Pameran Seni Lukis Belang Kempen Selamatkan Harimau Malaya di Tingkat 3 Balai Seni Lukis Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Soon Hin turut memaklumkan bahawa Balai Seni Lukis Pulau Pinang menjadi galeri pertama dalam negara yang mempamerkan karya secara online.
Ulas beliau, inisiatif tersebut diambil pihak pengurusan sejak Mei lalu sebagai inisiatif dalam memastikan orang ramai masih boleh terus ‘mengunjungi’ sambil menghayati keunikan karya-karya secara atas talian.
“Kita (Pulau Pinang) bangga menjadi negeri pertama dalam negara yang melaksanakannya.
“Ia (online) bukan sekadar memaparkan karya untuk tontonan umum, malah pelbagai pendekatan turut diguna pakai antaranya sesi bersama-sama pelukis sebenar, temu bual serta sebagainya bagi merancakkan sektor seni dan budaya Pulau Pinang di mata luar,” jelasnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar & Video : AHMAD ADIL MUHAMAD