Balik Pulau Express tidak dapat kelulusan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Pengumuman Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya baru-baru ini untuk memperkenalkan motosikal roda tiga dikenali Balik Pulau Express sebagai pengangkutan awam produk pelancongan di Balik Pulau tidak pernah mendapat kelulusan pihak berwajib.

Perkara tersebut didedahkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada sidang media di sini baru-baru ini bagi mengulas laporan akhbar berhubung pengumuman tersebut Januari lalu dan memperoleh maklum balas daripada JPJ pada 12 Februari lalu.

Guan Eng berkata, melalui maklum balas emel kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri mengesahkan bahawa kenderaan yang lebih dikenali sebagai ‘tuk tuk’ terbabit tidak pernah memohon atau mendapat kelulusan Jawatankuasa Proses Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) JPJ.

“Kita juga ambil minat perkara ini (Balik Pulau Express) kerana ianya satu perkara yang baru, tetapi adakah seorang Timbalan Menteri (merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau) tidak tahu mengenai perkara ini?

“Sebagaimana kita tahu, untuk memohon sesuatu sistem pengangkutan baru bukanlah satu proses yang mudah, banyak proses dan prosedur yang perlu dipatuhi” ujarnya.

Turut hadir, Exco Kerja Raya Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wong Hon Wai.

Justeru, Guan Eng memohon pencerahan timbalan menteri berkaitan berhubung perkara terbabit dan berharap pengumuman yang dibuat bukan sekadar omong-omong kosong.}