TELUK BAHANG – Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Negeri Pulau Pinang (PETACH), Yeoh Soon Hin memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai perancangan bagi membahagikan kawasan Balik Pulau kepada beberapa kategori pelancongan mengikut lokaliti.
Menurut beliau, perkara itu kini sedang dalam perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkepentingan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Balik Pulau sebagai destinasi pelancongan baharu di negeri ini.
“Kita (PETACH) akan membahagikan kawasan di Balik Pulau kepada beberapa kategori seperti warisan, eko-pelancongan, pelancongan berorientasikan keluarga serta lain-lain kategori yang berpotensi untuk dimajukan mengikut kesesuaian.
“Kita akan meneruskan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang khasnya ke Balik Pulau,” ujarnya ketika ditemui usai lawatan ke Audi Dream Farm, Balik Pulau pada 20 Julai 2020.
Turut serta, Pegawai Penyelaras Khas kepada Y.A.B. Ketua Menteri bagi kawasan Balik Pulau, Gooi Seong Kin dan pemilik Audi Dream Farm, Lim Seow Heong.
Mengulas mengenai langkah-langkah yang diambil dalam merealisasikan hasrat tersebut, Soon Hin berkata, pihaknya bersama-sama Penang Global Tourism (PGT) kini giat mempromosikan produk-produk pelancongan di negeri ini ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebenaran rentas negeri diberikan memang kita dapat lihat Pulau Pinang menjadi tumpuan pelancong tempatan, untuk itu kita berharap sedikit sebanyak dapat alih tumpuan di George Town ke Balik Pulau.
“Selain itu, kita (PETACH) juga akan berbincang dengan pihak Malaysia Airport Berhad (MAB) untuk buat papan tanda atau apa-apa tarikan berdekatan lapangan terbang untuk menarik minat pelancong ke Balik Pulau,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Sementara itu, menjawab soalan pemberita berhubung pengoperasian Audi Dream Farm, Seow Heong berkata, pihaknya mengambil kesempatan sepanjang PKP untuk menambah baik ladang ternakan tersebut.
“Pihak kami memandang tempoh PKP tersebut sebagai satu perkara positif kerana inilah masa untuk kami menambah baik keadaan di sini mengikut saranan yang kami terima melalui media sosial demi kepuasan pengunjung.
“Saya rasa lokasi pelancongan lain juga perlu mengambil langkah sama dengan menambah baik produk pelancongan sedia ada,” katanya.
Terletak di Mukim B Sungai Rusa, Balik Pulau, ladang ternakan ini menjadi semakin dikenali kerana keunikannya yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara depan mata dengan binatang ternakan seperti kuda padi, rusa, arnab, itik, unta, kambing baka Autralia dan tanaman buah-buahan serta sayur-sayuran.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD