Balu kakitangan MPSP terima ex-gratia

SEBERANG JAYA – Waris Allahyarham Mohamad Fauzi Hassan yang meninggal dunia semasa dalam tugas rasmi pada 20 November 2011 baru-baru ini mendapat pampasan sebanyak RM25,631.62 di bawah Skim Ex- Gratia Bencana Kerja Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif memberitahu , penjumlahan ex-gratia yang diserahkan kepada balu Allahyarham, Hayati Ramli itu berdasarkan tempoh mangsa meninggal dunia sehingga 30 April lepas.

Tambah Maimunah, Hayati layak menerima ex-gratia RM557.28 tiap-tiap bulan selagi mana berstatus balu dan tidak berkahwin, manakala, empat anak Allahyarham masing-masing turut menerima pampasan bulanan sebanyak RM98.88 sehingga umur mereka mencecah 21 tahun.

“Ini merupakan kes pertama yang kita buat,” ujarnya kepada wartawan dalam majlis penyampaian ex-gratia kepada keluarga Allahyarham di sini baru-baru ini.

Setiausaha Majlis, Sr. Rozali Mohamud dan Rezal Huzairi Md. Zaki (Ahli Majlis) turut menyertai majlis tersebut di Kompleks Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini.

Pada 28 November 2011, Mohamad Fauzi semasa menjalankan tugas rasmi terlibat dalam satu kemalangan dan meninggal di tempat kejadian.

Ekoran itu, waris Allahyarham pada bulan November 2012 membuat tuntutan pampasan berwajib daripada MPSP.

Mengulas mengenai hal itu, Maimunah menjelaskan bahawa waris layak menerima pampasan berwajib memandangkan Skim Ex-Gracia Bencana Kerja Majlis mula dikuatkuasa pada 1 Julai 2011, sungguhpun pembayaran mula dibuat pada 1 Jun 2012.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu majlis turut dilaporkan bertemu dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris Allahyarham selepas diberitahu insiden tersebut dulu.