Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Balu kepada arwah Penghulu Parlimen Bukit Gelugor, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut (DTL) yang meninggal dunia dalam kejadian kemalangan baru-baru ini menerima sumbangan RM5,000 daripada Kerajaan Negeri di sini.
Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kepada balu Allahyarham Md. Daud Mohd Nayan, Jamilah Abdul Aziz.
Guan Eng pada majlis tersebut menyifatkan Md. Daud sebagai seorang pegawai yang berdedikasi dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang Penghulu.
“Ini merupakan kehilangan besar kepada pihak Kerajaan Negeri,” ujarnya pada satu majlis ringkas penyampaian sumbangan cek kepada keluarga Allahyarham di Komtar di sini baru-baru ini.
Jamilah yang ditemani dua cahaya matanya kelihatan begitu sedih dan dibawa meninggalkan majlis selepas selesainya upacara penyampaian berkenaan.
Dalam kejadian 29 April lalu, Allahyarham yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja maut apabila terlibat dalam kejadian kemalangan di
Kilometer 151.8 Arah Selatan Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS).
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang masing-masing berusia 12, 9 dan 7 tahun.
Turut prihatin adalah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada keluarga
Allahyarham.
Pada majlis sama, seorang Pekerja Am Bahagian Perkhidmatan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd. Arifin Nahood Ghanny turut
menerima sumbangan bernilai RM3,000 daripada Kerajaan Negeri ekoran kediamannya di Jalan Mengkuang, Butterworth terlibat dalam kebakaran awal Mei lalu.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri meraikan tindakan berani dua ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dari Kampung Valdor, Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS) yang berjaya menahan tiga lelaki warga asing mencurigakan.
Mereka menerima sumbangan bernilai RM100 berserta sijil penghargaan di atas keberanian masing-masing.