Banci Pertanian di Pulau Pinang capai 40 peratus, tertinggi setakat ini

img 0972

PANTAI JEREJAK – Sebanyak 40 peratus pertubuhan dan pengusaha yang terlibat dalam sektor tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur dan perhutanan serta pembalakan di Pulau Pinang telah selesai menjalani Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, perkara tersebut melibatkan kira-kira 8,000 daripada 20,257 pengusaha yang telah dibanci di Pulau Pinang sejak Julai lepas hingga 3 Ogos lalu.

 

“Selepas hari ke-28 Banci Pertanian 2024, untuk peringkat nasional kita telah capai 31 peratus, Pulau Pinang telah capai 40 peratus, mungkin di negeri ini boleh selesai lebih awal berbanding Oktober bagi seluruh negara,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Nelayan Seri Jerejak usai lawatan ke sangkar ternakan ikan berhampiran Pulau Jerejak di sini kelmarin.

img 0974

Hadir sama, Pengarah DOSM Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan; Timbalan Pengarah Pertanian Pulau Pinang (Pengembangan), Awang Iffauzul Awang Mohamad Sapuani dan Ketua Cawangan Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang, Nabilah Mohammed Yusof.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Uzir memberitahu, berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sektor pertanian Pulau Pinang menyumbang 1.9 peratus kepada KDNK negeri dengan nilai ditambah berjumlah RM2.2 bilion.

 

“Subsektor perikanan merupakan penyumbang terbesar dengan sumbangan 40 peratus, diikuti tanaman 33 peratus dan ternakan 27 peratus bagi tahun 2023,” katanya.

 

Tambahnya lagi, hasil banci adalah penting untuk memberikan manfaat terutamanya kepada petani dalam mengakses data tanaman dan ternakan lebih terperinci serta membantu membuat keputusan berkaitan tatacara untuk meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta menambah baik penawaran produk.

 

“Namun begitu, terdapat cabaran yang dihadapi oleh pembanci, antaranya terdapat sebilangan responden enggan memberikan kerjasama serta ragu-ragu untuk mendedahkan maklumat pertanian,” jelasnya.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI