TINJAUAN Buletin Mutiara sekitar bandar raya George Town pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 mendapati susasana agak lengang.
Jalan Penang dan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) yang kebiasaannya sibuk dengan aktiviti pelancongan dan urusan harian dilihat sunyi tidak seperti hari kebiasaannya.
Tinjauan oleh penulis, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama juru gambar, DARWINA MOHD. DAUD mendapati rata-rata peniaga yang tidak terlibat sektor-sektor terpenting mematuhi arahan menutup premis masing-masing.
Tidak ketinggalan premis-premis makanan hanya membenarkan pelanggan membungkus makanan dan minuman selain perkhidmatan penghantar makanan menunggu di premis-premis popular.
Bagi penyedia perkhidmatan penghantaran makanan, Faizzat Hashim, 30, sejak memulakan tugas dari jam 8pagi sehingga 11pagi, beliau telah mendapat enam pesanan.
“Hari ini pesanan agak banyak sikit daripada hari-hari biasa, mungkin larangan makan di kedai makanmembuatkan pelanggan lebih selesa duduk di rumah dan buat pesanan.
“Saya rasa mungkin petang dan malam pesanan akan lebih bertambah, maka runner makanan macam saya ini bolehlah cari pendapatan tambahan sebalik sesetengah orang yang mungkin terpaksa ambil cuti tanpa gaji, pemotongan gaji dan sebagainya,” ujar beliau ketika ditemui berhadapan restoran nasi beriyani popular di Lebuh Campbell.
Bagi penghantar makanan, Mah Tuck Fatt dalam pada itu turut senada dengan Faizzat.
Jelasnya situasi ketika ini memberi peluang kepada penggiat penghantar makanan seperti beliau menambah pendapatan.
“Sekarang pagi lagi, tetapi permintaan sudah banyak, tengah hari dan malam saya rasa mungkin lebih ramai kerana semua memilih untuk duduk di rumah bersama keluarga.
“Kalau keluar pun bukan boleh makan di kedai, kalau lapar tidak mengapa, orang macam kami masih kerja,” seloroh beliau lagi.
Sementara itu, pengusaha kedai kopi dan roti bakar popular di lokasi berhampiran pula mendakwa perniagaan beliau susut 70 peratus ekoran arahan tidak membenarkan pelanggan makan di premis.
Jelasnya, pada hari biasa, pelanggan perlu menunggu giliran untuk mendapatkan tempat dan bersesak di kedai beliau
“Sangat ketara penurunan pelanggan hari ini kira-kira 70 peratus menurun, pelanggan hanya boleh bungkus sahaja tidak boleh makan di sini.
“Tetapi tidak mengapa ini adalah untuk kebaikan semua, kita mesti sokong dan lawan COVID-19 ini habis-habisan supaya keadaan kembali seperti biasa.
“Saya nasihatkan semua orang supaya patuhi arahan ditetapkan agar virus ini tidak terus merebak,” ujar pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ooi.
Ketika melalui sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling, penulis mendapati deretan beca masih menunggu pelancong yang ingin mendapatkan perkhidmatan bersiar-siar di Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Rata-rata pengayuh beca berharap kerajaan (persekutuan atau negeri) dapat menyedikan peruntukan khas kepada mereka yang dianggap duta pelancongan.
“Kami sekarang dapat RM20 sehari daripada tauke beca, jadi kami harap kerajaan dapatlah bagi dekat kami duit untuk kami tanggung sedikit kerugian akibat kekurangan pelancong ke sini,” ujar salah seorang pengayuh beca yang enggan dikenali.