Bandar raya sukan, Pulau Pinang berada pada landasan tepat – KM

Admin

LASAK & SIHAT… Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa Pulau Pinang kini berada pada landasan tepat ke arah menjadi sebuah bandar raya sukan.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelepasan para peserta (acara larian) Penang Ultra 2017 dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong program-program bersifat kesukanan dalam memastikan rakyat negeri ini memilih gaya hidup sihat.

“Hari ini, kita meraikan lebih 1,000 peserta yang mengambil bahagian dalam acara Penang Ultra 2017 yang diadakan untuk kali keempat berturut-turut,’’ ucapnya penuh semangat.

Tambah Guan Eng, sebagaimana maklum, bukan mudah untuk menyahut cabaran dalam kejohanan yang merangkumi larian Kategori 100 kilometer (km) Solo termasuk mendaki Bukit Bendera, 84km mengelilingi pulau, 50km ultra maraton dan 100km berganti-ganti.

“Tetapi, anda semua (peserta) berani menyahut cabaran…syabas!” tambah beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menaik taraf dan menyediakan kemudahan sukan serta rekreasi di Pulau Pinang dalam usaha memupuk budaya hidup sihat rakyat di negeri ini.