Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak tahu apa-apa rentetan pengumuman sebuah syarikat yang ingin membangunankan semula tapak seluas 1,007 ekar Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth di sini baru-baru ini.
Katanya, tiada sebarang makluman rasmi mengenai perkara tersebut daripada Kementerian Pertahanan (Mindef).
“Ini adalah keputusan Kerajaan Persekutuan, walaupun pengumuman tersebut dibuat oleh syarikat TSR kepada Bursa Malaysia, kita (Kerajaan Negeri) tidak tahu apa yang berlaku.
“Kita (Kerajaan Negeri) tidak tahu apa-apa walaupun ia terletak di Pulau Pinang dan sebahagian daripada kawasan Parlimen saya (Parlimen Bagan),” ujarnya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Menurut laporan The Edge Financial Daily baru-baru ini menyatakan bahawa pemaju, TSR Capital Berhad (TSR) memaklumkan kepada Bursa Malaysia, pada 5 Februari lalu bahawa pihak terbabit telahpun menerima kelulusan kerajaan melalui usahasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Pembinaan Bukit Timah Sdn. Bhd. (PBT) untuk membangunkan semula tapak tersebut sebagai sebahagian daripada cadangan perjanjian pertukaran tanah (land swap) dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurut laporan sama, ketiga-tiga syarikat terbabit turut membangunkan sebuah pangkalan TUDM baharu bernilai RM3 bilion berdekatan bahagian pulau, Pulau Pinang.
Laporan tersebut juga menyebut bahawa TSR akan mempunyai 51 peratus kepentingan ekuiti, manakala bagi LTAT dan PBT masing-masing 30 peratus dan 19 peratus kepentingan ekuiti.
TSR juga mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan dapat mengambil bahagian dalam pembangunan semula tanah kerajaan melalui kepentingan ekuiti LTAT.
Ketiga-tiga syarikat tersebut juga akan mereka bentuk, membina dan membiayai pembangunan dan pembinaan pangkalan udara baharu.
Kerajaan Persekutuan akan membayar syarikat-syarikat tersebut melalui pertukaran tanah pada nilai pasaran semasa hartanah termasuk tanah seluas 1,007 ekar tersebut.
Turut dinyatakan kos keseluruhan projek mencecah RM13 bilion dengan RM10 bilion adalah bagi pembangunan potensi projek bercampur bersepadu di atas tanah seluas 1,007 ekar (407.52 hektar) itu.
Guan Eng menambah, walaupun Mindef tidak memaklumkan kepada Kerajaan Negeri, namun mereka masih ‘berhutang’ dengan orang awam tentang pembangunan semula tanah TUDM itu.
“Kami rakyat Pulau Pinang mahu tahu lokasi pembangunan semula dan pembinaan pangkalan TUDM yang baru kerana pihak terbabit masih memerlukan kelulusan Kerajaan Negeri termasuk pelan pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai).
“Ini merupakan perkembangan pembangunan besar dan saya agak terkejut dengan keluasan dan saiz tanah yang terlibat. Kita semua masih menunggu jawapan,” ujar beliau.
Ketika ditanya sama ada Guan Eng tahu kemungkinan lokasi pangkalan tersebut, beliau menyatakan bahawa ia boleh dibangunkan sehingga ke Kepala Batas, tetapi tidak pasti sama ada TUDM memiliki mana-mana tanah di kawasan berkenaan.
“Kita (Kerajaan Negeri) berharap mereka (pangkalan TUDM) akan kekal di Pulau Pinang kerana ia mempunyai nilai sejarah, tetapi kita (Kerajaan Negeri) serahkan kepada mereka untuk memaklumkan kepada kita.
“Kita (Kerajaan Negeri) sangat ‘terbuka’ tentang pilihan lokasi pembangunan berkenaan,”ujar beliau yang berharap agar projek tersebut tidak akan tergendala seperti projek Penang Sentral, iaitu pembangunan sebuah hab pengangkutan awam bersepadu di kawasan Utara Semenanjung yang menelan kos sebanyak RM2 bilion.