PADANG KOTA – Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang siap dibaik pulih, kini diserahkan semula kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang.
Majlis penyerahan disempurnakan dengan ketukan gavel oleh Yang Di-Pertua DUN Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang di Dewan Persidangan bangunan warisan tersebut.
Disusuli dengan upacara menandatangani dokumen persetujuan penyerahan oleh Pengarah JKR Negeri Pulau Pinang, Ir. Roslan Ismail kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah yang mewakili SUK.
Dalam pada itu, Choo Kiang ketika ditemui berkata, cadangan untuk membaik pulih serta menaik taraf bangunan DUN tersebut disuarakan pada tahun 2017 dan kerja-kerja pemulihan dimulakan pada Mac 2019.
“Kerajaan Negeri telah memberi kepercayaan penuh kepada JKR Pulau Pinang untuk menyempurnakan kerja-kerja baik pulih sehingga siap walaupun terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tambahan pula, kerja-kerja membaik pulih ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan bangunan DUN ini berada dalam Zon 1 Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-kerja Menaik Taraf Di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dekat sini pagi ini.
Memandangkan bangunan tersebut dianggap sebagai bangunan warisan, maka kerja-kerja membaik pulih adalah berpandukan kaedah-kaedah tertentu yang ditetapkan mengikut kategori warisan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Saya dimaklumkan pemilihan material serta kualiti bahan-bahan binaan yang digunakan ini turut mengambil masa yang panjang.
“Saya berharap dengan sempurnanya kerja-kerja membaik pulih ini, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri akan lebih bersemangat dan dapat meningkatkan lagi kualiti perbahasan mereka nanti.
“(Dan) paling utama adalah soal keselamatan bangunan ini, yang mana telah diberi perhatian sewajarnya sepanjang tempoh projek ini dilaksanakan.
“Saya percaya selain aspek keselamatan, ruang persidangan turut diberi perhatian…kita dapat menyaksikan imej baharu yang sangat cantik,” jelasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada JKR Negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, Ahmad Rizal ketika berucap pada majlis berkaitan memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf tersebut menelan kos sebanyak RM3.67 juta.
“Kerja-kerja naik taraf berjaya disempurnakan kurang daripada dua tahun dan kita menjangkakan persidangan pada bulan April 2021 akan dibuat di sini,” katanya.
Difahamkan kerja-kerja menaik taraf ini melibatkan ruangan bumbung, siling, kerja-kerja mekanikal, elektrik dan hiasan dalaman di Dewan Persidangan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN