Kelas melukis dan kraftangan, inisiatif pembangunan STEAM

Admin
ZAIRIL Khir Johari (kemeja ungu, tengah) sempat meluangkan masa bergambar bersama kanak-kanak yang menyertai kelas seni tersebut semalam.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

TANJONG BUNGA – Sebagai menjayakan hasrat Kerajaan Negeri di dalam pembangunan STEAM (sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik), Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga mengambil inisiatif khas menganjurkan Kelas Melukis dan Membuat Kraf Tangan pada setiap minggu.

Menurut ADUNnya, Zairil Khir Johari, bagi menjayakan penganjuran berkenaan, beliau memperuntukkan RM500 dan para pelajar serta individu yang berminat hanya perlu membayar RM10 bagi mempelajari salah satu bidang seni berkaitan.

“Kalau ambil kelas ini di luar memang agak mahal, jadi saya rasa dengan adanya kelas seperti ini di sini iaitu pada setiap Ahad, ia dapat membantu segolongan ibu bapa yang mempunyai anak yang minat dalam bidang seni.

“Untuk kraf tangan, kita buka khas untuk pelajar 18 tahun dan ke atas, manakala kelas melukis adalah untuk kanak-kanak berusia empat hingga 17 tahun.

“Buat masa ini, difahamkan kelas melukis sudah penuh, tetapi kelas kraf tangan masih ada kekosongan,” katanya ketika meluangkan masa melawat penganjuran kelas berkenaan di sini 28 April lalu.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjong Bunga, Damien Fong Hoong Yew dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Tanjong Bunga, Poon Lee Fah.

Hoong Yew ketika ditemui memberitahu bahawa matlamat asal penganjuran tersebut adalah bagi membantu komuniti di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkaitan.

Dalam pada itu, Lee Fah memberitahu bahawa program tersebut dilihat mampu membantu golongan wanita menjadikan seni kraf tangan sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Antara kraf tangan awal yang direka termasuk bunga pandan dan ukiran sabun organik yang boleh dijadikan cenderahati,” jelasnya.