Banjir kilat kawasan Bayan Baru optimis diatasi

KERAJAAN Negeri optimis masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan Bayan Baru dan sekitarnya dapat diatasi dalam tempoh setahun dari sekarang menerusi beberapa projek tebatan banjir yang dalam proses pelaksanaan.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, ZAIRIL KHIR JOHARI berkata, pelaksanaan itu termasuk penambahbaikan reka bentuk projek bagi menangani banjir untuk tempoh 20 tahun ARI.

Beliau berkata, projek sepenuhnya di bawah pembiayaan pihak Kerajaan Negeri yang berjumlah RM20 juta itu telah diluluskan pada tahun 2017 dan rancangan tersebut dilaksanakan selepas mengambil kira kesusahan yang terpaksa ditanggung penduduk sekitar (Bayan Baru) setiap kali berlakunya banjir kilat.

“Projek naik taraf telah bermula sejak Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2020, yang mana kemajuan kerja di tapak-tapak berkaitan adalah sekitar 11 peratus.

“Kerja-kerja menaik taraf bagi mengurangkan impak banjir ini termasuk membesarkan longkang sedia ada di sepanjang 2,750m (meter) Persiaran Relau dan Jalan Dato’ Ismail Hashim kepada 1.5m x 1.5m (lebar), manakala 1,780m di sepanjang Jalan Mayang Pasir serta Jalan Mahsuri kepada 1.2m (tinggi) x 1.5m (lebar).

“Membina longkang baharu (box culvert) sebagai collector drain, balancing sum dan pipe jacking masing-masingnya di Jalan Mayang Pasir, Jalan Tengah dan Jalan Tun Dr. Awang.

“Selain itu, pelaksanaan projek ini juga turut merangkumi pembinaan rumah pam baharu berkapasiti tinggi iaitu 12m3/saat (tiga pam @ 4m3/saat screw pump) serta pemasangan tiga pintu automatik air pasang surut berhampiran rumah pam berdekatan Balai Bomba dekat Jalan Tengah,” ujarnya pada sesi temu bual khas dengan wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI baru-baru ini.

Sungai Relau, kawasan berhadapan Petronas Jalan Dato’ Ismail Hashim, Jalan Mahsuri, berhadapan Pasar Raya Sunshine Square, Jalan Mayang Pasir, berhadapan Masjid Bayan Baru, Giant Jalan Tengah dan Sungai Kluang merupakan kawasan hotspot impak banjir.

Menurut Zairil, semua parit yang dinaik taraf dengan reka bentuk 20 ARI tersebut akan membawa air ke collector drain yang kemudiannya bakal diarahkan ke rumah pam dan seterusnya air dialirkan ke Sungai Kluang serta terus ke laut.

“Diharap dengan siapnya projek ini kelak, kawasan-kawasan terjejas akan dapat mengurangkan impak banjir kilat terutamanya ketika musim hujan lebat.

“Walau bagaimanapun, kalau intensiti hujan yang turun melebihi 20 ARI, sememangnya projek ini tidak dapat menampung, tetapi impak banjir tidaklah teruk,” jelasnya sambil menganggarkan bahawa projek tebatan banjir di kawasan berkenaan sebelum ini mungkin direka bentuk untuk menampung 5 hingga 10 ARI sahaja.

 

Punca banjir kilat

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa terdapat empat punca utama yang menyumbang kepada berlakunya banjir di kawasan berkenaan.

“Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sekitar Bayan Baru berpunca daripada hujan lebat yang berterusan dan fenomena air pasang besar.

“Apabila berlakunya fenomena air pasang besar, air bertakung dengan banyak dan tidak dapat mengalir keluar ke laut hingga melibatkan limpahan dan banjir.

“Cara untuk atasi masalah banjir kilat ini hanya dengan menaik taraf sistem saliran sedia ada dan membina rumah pam yang dilengkapi dengan pintu air… itu yang kita cuba implementasi serta tambah baik di tapak.

“Diharap tiga pintu automatik air pasang surut yang dibina berhampiran rumah pam akan mengurangkan impak jika berlaku limpahan air dengan mengalirkan air ini keluar ke laut melalui Sungai Kluang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

Selain hujan berterusan dan air pasang besar, sistem saliran lama yang dianggarkan di antara 5 hingga 10 ARI juga merupakan punca kepada kerap berlakunya banjir kilat di kawasan berkaitan kini.

“Sistem saliran sedia ada dibentuk dengan ARI yang kurang mungkin di antara 5 hingga 10 tahun ARI sahaja, makanya jika hujan lebat lebih daripada itu, memang ia tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak.

“Orang ramai juga perlu tahu bahawa dunia kita berdepan situasi perubahan iklim yang mana ia memberi impak kepada intensiti hujan yang lebih tinggi berbanding dahulu.

“Melalui satu data yang dikeluarkan menyatakan bahawa kadar purata hujan yang turun sejam dari tahun 1990 hingga 1999 hanya sekitar 31mm (milimeter), tetapi peningkatan drastik berlaku kepada 146mm dari tahun 2000 hingga 2009, dan 180mm (2010 hingga 2018).

“Ini menunjukkan bahawa kadar intensiti hujan telah meningkat dengan mendadaknya disebabkan fenomena perubahan iklim, dan ia bukan sebab pembangunan, ia berlaku di seluruh dunia,” ujarnya.

Berlandaskan itu, Zairil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri terpaksa melabur untuk projek naik taraf berkaitan ekoran semua sistem saliran sedia ada adalah rendah dan tidak dapat menampung jumlah air hujan yang banyak.

“Sememangnya banyak projek-projek infrastruktur dan penaiktarafan yang sedang dijalankan di seluruh Pulau Pinang, di semua kawasan hotspot banjir dan pelaksanaan ini mengikut keutamaan.

“Jikalau ingin buat semua (kawasan banjir) secara serentak, ia memerlukan dana yang begitu banyak dan akan mengambil masa yang lama, justeru kita (Kerajaan Negeri) beri keutamaan kepada projek yang teruk dan penting dahulu,” jelasnya.

 

Pelaksanaan projek tebatan banjir

Difahamkan, Kerajaan Negeri kini sedang melaksanakan lapan projek tebatan banjir, yang mana dua daripadanya merupakan projek (tebatan banjir) berimpak tinggi iaitu Projek Tebatan Banjir Bayan Baru dan Projek Tebatan Banjir Sungai Nipah dekat Taman Iping, Bayan Lepas.

Ulas Zairil, selain Projek Tebatan Banjir Bayan Baru, Kerajaan Negeri turut membiayai sepenuhnya kos peruntukan Projek Tebatan Banjir Sungai Nipah berjumlah RM15.3 juta.

“Projek ini baharu sahaja bermula, ia melibatkan kerja-kerja penaiktarafan saliran longkang sedia ada di kawasan perumahan Taman Iping dan pembinaan dua rumah pam baharu,” maklum beliau sambil menambah bahawa Projek Tebatan Banjir Sungai Bayan Lepas telah dilulus dan bakal dimulakan dalam tempoh terdekat.

Selain itu, di peringkat Persekutuan, satu projek tebatan banjir di Teluk Kumbar bernilai RM10 juta juga sedang berjalan.

“Projek Tebatan Banjir Teluk Kumbar ini diluluskan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan, iaitu merangkumi kerja naik taraf rumah pam baharu dan sistem saliran longkang.

“Kesemua projek di pelbagai peringkat pelaksanaan yang dinyatakan ini adalah komitmen Kerajaan Negeri khasnya dan Persekutuan untuk membantu masyarakat setempat di kawasan-kawasan berkenaan,” tambah beliau.