GEORGE TOWN – Bank Dunia telah meluluskan pemberian dana berjumlah USD$10 juta atau hampir RM42 juta kepada Pulau Pinang di bawah Dana Penyesuaian atau Adaptation Fund (AF).
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika mengumumkan perkembangan terbaharu itu berkata, dana tersebut direka bentuk untuk membiayai projek dan program penyesuaian perubahan iklim berdasarkan keutamaan kelayakan negara membangun.
Pemberian dana tersebut merupakan pendekatan holistik yang diambil oleh Bank Dunia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai keperluan mendesak untuk mengarusperdanakan semua projek dan program dengan mengambil kira perubahan iklim.
“Dana ini membantu membina projek berdaya tahan agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan memberi manfaat kepada Pulau Pinang untuk melaksanakan program dan projek berkaitan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Dewan Bandaraya dekat sini pada 29 Oktober 2021.
Difahamkan, dana yang diwujudkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – Perubahan Iklim akan dimanfaatkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang dan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad, Think City Penang.
Dalam pada itu, mewakili Think City Penang, Dr. Matt Benson yang hadir sama pada sidang media tersebut menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana telah terpilih sebagai penerima dana antarabangsa itu.
“Ini adalah pencapaian terbesar buat negeri Pulau Pinang dan membuktikan bahawa Kerajaan Negeri bersedia mengorak langkah ke arah pembangunan yang bukan sahaja mampan malah berdaya tahan dan sesuai dengan perubahan iklim,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali berkata, dana dalam bentuk geran projek dan program itu, ⅓ daripadanya akan digunakan bagi tujuan penghijauan termasuk program penanaman pokok yang direncanakan melalui Visi Penang2030.
Terdahulu, Jagdeep turut mengumumkan penyertaan Projek Penang Bay dalam SDG Cities Global Conference yang dianjurkan di bawah Program Penempatan Manusia PPB (UN Habitat) bersama-sama Shanghai Municipal People’s Government secara dalam talian mulai 29 sehingga 31 Oktober 2021.
“Projek Penang Bay ini dilihat amat berpotensi apabila menyertai Forum Bandar Sedunia Ke-10 (WUF10) yang mana wakil daripada SDG Global Coordinator, UN Habitat telah mempelawa Kerajaan Negeri menyertai inisiatif Global Sustainable Development Goals (SDG) Cities.
“(Dan) projek Penang Bay bakal menjadi projek rintis di bawah Global SDG Cities yang mana UN Habitat turut mencadangkan supaya ia didokumentasikan bagi membolehkan Pulau Pinang diiktiraf sebagai bandar mampan dan bertaraf antarabangsa,” jelasnya.
Projek Penang Bay adalah projek jangka panjang yang berpotensi dan berimpak tinggi dalam merubah landskap di kawasan perairan George Town dan Butterworth di Seberang Perai. Projek ini sekali gus membolehkan Pulau Pinang diiktiraf sebagai zon bandar raya lestari yang bermatlamat SDG dikuasakan oleh industri hijau, teknologi digital dan kreatif. Projek urbanisasi ini bukan sahaja pertama di Malaysia malah di rantau ini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : CHAN KOK KUAN