Bank Rakyat tunai kewajiban bayar zakat perniagaan

Admin

TUNAI KEWAJIBAN… Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima RM1,080,071.00 daripada Bank Rakyat sebagai pembayaran zakat perniagaannya bagi tahun 2013 baru-baru ini.

Pembayaran tersebut disempurnakan Naib Presiden Kanan Produk dan Perkhidmatan Bank Rakyat, Baharom Embi kepada Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pada majlis ringkas di Seri Mutiara di sini.

Menurut Baharom, pembayaran tersebut adalah bagi melaksanakan tanggungjawab Bank Rakyat sepertimana disyariatkan dalam Islam kepada golongan asnaf.

Turut hadir, Yang di-Pertua MAINPP, Datuk Mohd. Salleh Man, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri) dan beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah ZPP.

Dalam ucapan ringkas, Abdul Rahman berkata, semoga dengan pembayaran zakat berkenaan dapat meningkatkan ekonomi umat Islam khususnya di negeri ini.

“Pada masa sama, saya berharap agar syarikat-syarikat korporat lain turut melaksanakan tanggungjawab yang sama,’’ seru beliau.