GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kom Yeow memberitahu bahawa sehingga bulan Oktober 2020, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) membekalkan ‘bank tanah’ kira-kira 481 ekar di kawasan Parlimen Batu Kawan.
“PDC sebagai agensi utama Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk menerajui pertumbuhan sosio-ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 19 Oktober 2020.
Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan memberi penjelasan itu sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik.
Mengikut pecahan, Kon Yeow memberitahu bahawa bank tanah PDC di Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) adalah seluas 258 ekar; Penang Science Park (sebanyak 26 ekar) dan Penang Science Park North (sebanyak 197 ekar).
“Selain itu, kawasan di BKIP2 yang berkeluasan 1,156 ekar telah dikenal pasti sebagai tapak perindustrian PDC baru bagi menarik pelabur tempatan dan asing,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memberi penjelasan kepada ADUN Air Putih, Lim Guan Eng berhubung status PDC meminjam RM1.5 bilion daripada CIMB Bank Berhad untuk membuka tanah perindustrian baharu.
Sehingga 13 Oktober 2020, menurut beliau, jumlah keseluruhan pengeluaran pinjaman PDC bagi kedua-dua pinjaman Kredit Tidar (RC) dan kemudahan pinjaman berjangka (TL) adalah berjumlah RM551 juta.
“Daripada jumlah ini (RM551 juta), pengeluaran pinjaman sejumlah RM537 juta adalah untuk tujuan membuka tanah perindustrian baru berjumlah RM501 juta tujuan pengambilan tanah terutamanya di Timur Batu Kawan dan Changkat Byram dan RM36 adalah juta untuk tujuan kerja-kerja infrastruktur di Batu Kawan, Bukit Minyak Industrial Park dan Penang Science Park North.
“Manakala baki pengeluaran berjumlah RM14 juta adalah untuk pembiayaan modal kerja. Jumlah yang telah dijelaskan PDC kepada CIMB sehingga 13 Oktober 2020 adalah berjumlah RM38 juta menjadikan baki pinjaman sekarang adalah RM513 juta dan baki kemudahan pinjaman yang boleh digunakan adalah berjumlah RM949 juta,’’ ulasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI