Bantahan menara telekomunikasi melalui saluran yang betul, tindakan efektif dapat diambil

Admin

GEORGE TOWN – Sebarang ketidakpuasan hati dan aduan berkenaan dengan pembinaan menara telekomunikasi di Gat Lebuh Macallum dekat sini perlu dikemukakan melalui saluran yang betul.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ia penting supaya satu tindakan efektif berkaitan perkara itu dapat diambil dengan segera oleh pihak berwajib.

“Sekiranya terdapat pihak-pihak yang mahu menjadikan isu ini sebagai isu politik, mereka boleh teruskan, tetapi kita (Kerajaan Negeri) mahu tegaskan bahawa sebarang aduan yang ingin dikemukakan haruslah melalui saluran yang betul,” katanya sebagai menjawab soalan pemberita selepas mengadakan program jelajah mesra sambil mengedarkan kalendar tahun 2022 kepada peniaga di sekitar Lebuh Campbell sebentar tadi.

Ketua Menteri mengedarkan kalendar tahun 2022 kepada peniaga di sekitar Lebuh Campbell.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng serta ADUN Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen.

Terdahulu, beberapa penduduk di Gat Lebuh Macallum dekat Sungai Pinang mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar segera mengalihkan menara telekomunikasi yang telah siap dibina di kawasan tersebut.

Ia berikutan timbul kebimbangan bahawa pembinaan menara telekomunikasi tersebut akan mendatangkan kesan radiasi yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk pada jangka masa panjang.

Sementara itu, pada 11 Disember lalu, Zi Sen memaklumkan bahawa pembinaan menara tersebut bukan di bawah Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang untuk memasang 1,500 Smart Street Pole (SSP).

Walau bagaimanapun, beliau akan membawa isu berkenaan kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tindakan lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZ