Bantahan operasi kolam udang Kuala Juru perlu solusi ‘harmoni’, respons Exco

FAHMI Zainol

GEORGE TOWN – Pengoperasian kolam udang dekat Kuala Juru yang mendapat bantahan sekumpulan nelayan pantai akan dirujuk kepada Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Demikian respons Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol semasa diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

“Saya sudah berhubung dengan Pengarah LKIM, saudara (Muhammad) Faiz Fadzil dan saya akan berbincang dengan beliau untuk mengharmonikan keadaan,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak turut mengakui bahawa pelan asal di atas tanah milik LKIM itu adalah untuk membina rumah dan bukannya tapak pengoperasi kolam udang.

“Sebenarnya isu ini adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri untuk selesaikan tetapi saya sudah menemui saudara (Muhammad) Faiz dan berbincang untuk mengharmonikan keadaan ini,” responsnya.

Di samping itu, beliau berkata pengoperasi kolam udang dekat Kuala Juru tersebut telahpun dihentikan buat sementara waktu ekoran bantahan nelayan terbabit.

“Sebabnya, saya dimaklumkan tidak ada Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan kerja-kerja (pengoperasi kolam udang tersebut,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING