Bantu persatuan anjur sukan orang pekak sangat dialu-alukan, kata Exco

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) diiringi Soon Lip Chee (dua dari kiri) dan beberapa tetamu lain semasa acara penyampaian cek replika tajaan kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang di sini pada 6 Jun 2023.

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri berharap lebih ramai pihak tampil bagi membantu Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang supaya pertubuhan tersebut boleh menganjurkan pelbagai kegiatan sukan melibatkan kelompok berkenaan.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Jamuan Teh Persatuan Sukan Orang Perak Pulau Pinang bersama-sama Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak di The Ship Campus di sini pada 6 Jun 2023.

“Seperti yang disarankan (pada peringkat Kerajaan Negeri hari ini sebelum ini iaitu) Sukan Untuk Semua, semua orang tanpa mengira perbezaan, sepatutnya mempunyai peluang yang sama untuk melibatkan diri dalam sukan dan menjana potensi mereka sepenuhnya.

“Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang merupakan persatuan yang aktif dalam pembangunan sukan terutamanya merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti sukan (di samping) menggalakkan penglibatan mereka ke arah melahirkan atlet pekak Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal dalam majlis berkenaan.

TETAMU dalam kalangan ahli Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang yang menyertai majlis di sini tadi.

Semasa berucap, Lip Chee turut mengumumkan bahawa Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow memberi sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang; diikuti empat pertubuhan penaja lain iaitu Peninsula College, Mega Film Distribution Sdn. Bhd., Wiitrac Elevator Sdn. Bhd., Ee-Lian Enterprise (M) Sdn. Bhd. yang masing-masing menyumbang tajaan dana RM5,000.

Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang turut menerima tajaan sumbangan berupa 200 bakul makanan daripada Kelab Anak-Anak Pulau Pinang dan McDonald’s Malaysia (tajaan makanan untuk 300 orang dalam majlis di sini).

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara penyampaian replika cek sumbangan serta tajaan pada majlis tersebut.

Buletin Mutiara difahamkan majlis jamuan teh bersama-sama Tun Ahmad Fuzi pada petang ini merupakan acara susulan majlis makan malam yang dianjurkan pada 18 Mac lepas bersempena sambutan ulang tahun ke-12 Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD