Bantuan cermin mata percuma kepada 500 murid memerlukan di Daerah SPU

whatsapp image 2025 03 20 at 10.54.13

TELOK AYER TAWAR – Seramai 500 murid memerlukan dari 10 buah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerima sumbangan cermin mata menerusi Skim Zakat Wakalah.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata sumbangan itu adalah hasil kerjasama antara Yayasan Sahabat Bina Negara dan Etiqa General Takaful melibatkan dana keseluruhan RM500,000 yang memberi manfaat kepada 2,500 murid di seluruh negeri.

Beliau berkata bahawa daripada jumlah tersebut, sebanyak RM475,000 telah disumbangkan melalui Wakalah Zakat Etiqa General Takaful, manakala RM25,000 lagi daripada Yayasan Sahabat Bina Negara.

“Melalui program ini, setiap daerah menerima RM100,000 untuk membantu 500 murid yang memerlukan.

“Jadi, pada hari ini saya akan menyerahkan cek cura bernilai RM100,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah SPU untuk dimanfaatkan oleh 500 murid rabun di daerah ini,” katanya ketika berucap dalam Program Bantuan Cermin Mata Murid Sekolah yang diadakan dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ayer Tawar di sini sebentar tadi.

whatsapp image 2025 03 20 at 10.54.12whatsapp image 2025 03 20 at 10.54.10whatsapp image 2025 03 20 at 10.54.12 (1)

Mohamad berkata, masalah rabun dalam kalangan kanak-kanak bukan perkara kecil yang mana kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2016 menunjukkan 10 peratus anak-kanak di Malaysia mengalami rabun jauh berdasarkan tanpa mereka sedari.

“Ini bermakna, seorang daripada sepuluh kanak-kanak berdepan dengan cabaran penglihatan yang boleh menjejaskan pembelajaran mereka di sekolah.

“Justeru dengan adanya program ini, diharap bukan sahaja  membantu meningkatkan prestasi akademik anak-anak kita tetapi juga dapat meringankan beban ibu bapa, khususnya dalam kalangan keluarga asnaf dan berpendapatan rendah (B40).

“Malah, program ini juga seiring dengan usaha Kerajaan Negeri yang sentiasa komited dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dan inklusif untuk semua, selari dengan visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung menegaskan bahawa Kerajaan Negeri turut memberikan perhatian kepada pembangunan aset wakaf dalam sektor pendidikan dan pembangunan komunit.

“Beberapa inisiatif yang melibatkan institusi pendidikan berkonsepkan wakaf sedang dirancang bagi memastikan akses pendidikan berkualiti kepada lebih ramai pelajar.

“Langkah ini selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030), yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi, pendidikan, pembangunan keluarga, serta generasi muda Islam.

“Dengan pendekatan ini, kita berharap lebih ramai umat Islam di Pulau Pinang akan memahami kepentingan zakat dan wakaf serta memberikan sokongan berterusan, agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh dan memperkukuhkan kesejahteraan umah di negeri ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD