Bantuan kebajikan, pembangunan RIBI diteruskan – Exco

DATUK KERAMAT – Kebajikan dan pembangunan rumah ibadat bukan Islam di negeri ini akan terus diberikan perhatian terutama dalam tempoh sukar berdepan dengan krisis kesihatan paling dahsyat kini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga kini sejumlah RM8.11 juta telah disalurkan ke rumah-rumah ibadat bukan Islam melalui Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

 

“Banyak rumah ibadat yang memerlukan dana, tidak seperti sebelum (penularan COVID-19) yang mana para penganut akan menderma (untuk kebajikan dan pembangunan rumah ibadat).

 

Kita (Kerajaan Negeri) memahami situasi ini dan akan meneruskan penyaluran dana (melalui permohonan) ke rumah-rumah ibadat bukan Islam yang memerlukan.

 

“Begitu juga bagi rumah-rumah ibadat Islam yang mana dana disediakan melalui peruntukan Hal Ehwal Agama Islam (di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP),” ujarnya pada sidang media secara maya di premis Pertubuhan Kebajikan Sri Ayappan Seva Samajam, Jalan Sri Bahari dekat sini.

 

JAGDEEP Singh Deo.

 

Hadir sama, ahli-ahli jawatankuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

 

 

Sebagai rekod, sejak Pakatan Harapan (sebelum ini Pakatan Rakyat) mengambil alih tampuk pentadbiran di Pulau Pinang pada 2008, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai bentuk pembaharuan dan bantuan. Salah satu daripadanya adalah Tabung Amanah RIBI (yang diperkenalkan pada tahun 2016) dan turut dimasukkan sebagai agenda dalam Bajet Negeri Pulau Pinang.

 

Begitu juga bagi peruntukan Hal Ehwal Agama Islam, yang mana sejumlah RM64.16 juta diperuntukan pada tahun 2021.

 

Terdahulu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan hamper keperluan asas sempena Deepavali kepada 60 ibu tunggal layak.

 

Sejak 13 tahun lalu, sumbangan ini diberikan kepada golongan yang layak di sini (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN).

 

“Sungguhpun sumbangan ini ‘kecil’ tetapi saya berharap ia memberi makna dan membantu mereka yang terjejas akibat (pandemik) COVID-19 terutama ketika perayaan hampir menjelang,” jelasnya yang turut menyumbang sebanyak RM7,000 bagi menjayakan penyerahan sumbangan berkaitan.

 

Dalam majlis sama, Jagdeep turut menyeru semua pihak supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), menjaga kebersihan diri dan kekal berdisiplin bagi memastikan jangkitan virus dapat dibendung.

 

“Pulau Pinang pernah menjadi negeri hijau tanpa jangkitan selama lebih 100 hari dan saya pasti kita semua boleh melakukannya semula kerana rakyat Pulau Pinang memang berdisiplin,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN