Bantuan kewangan kepada SAR, Cina & mubaligh

Admin

PERMATANG PAUH – Buat julung kalinya, hasil keperihatinan Kerajaan PR Berjiwa Rakyat, sebuah makmal sains telah berjaya diwujudkan di Sekolah Agama Rakyat Madrasah Al Aminiah (SARMAA) di sini.

Pengetua SARMAA, Ustaz Haji Azamuddin Alang Hamzah berkata, beliau berasa amat terharu dan gembira kerana hasil inisiatif baik Kerajaan Negeri, bantuan kewangan yang diberi telah berjaya menobatkan sekolahnya sebagai SAR pertama di negeri ini yang memiliki makmal sains.

Kini, pelajar-pelajar dapat menggunakan kemudahan makmal sains dan secara tidak langsung ia selaras dengan misi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha untuk melahirkan golongan generasi muda yang celik ilmu sains dan teknologi,’’ katanya kepada SUARA CAT di sini baru-baru ini.

KETUA Menteri sambil ditemani Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim (tiga dari kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man (empat dari  kanan) memerhatikan para pelajar SARMAA menjalankan ujikaji sempena lawatan di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri sambil ditemani Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim (tiga dari kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man (empat dari kanan) memerhatikan para pelajar SARMAA menjalankan ujikaji sempena lawatan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dalam usaha meningkatkan mutu pembelajaran sekolah agama rakyat dan sekolah Tahfiz , Kerajaan Negeri telah menambah peruntukan bantuan kewangan dari RM1.5 juta pada tahun 2009 kepada RM1.75 juta untuk tahun 2010.

Kita percaya dan yakin bantuan yang diberikan kepada SAR akan digunakan dengan telus dan tanpa sebarang kebocoran. Maka, kerana itulah kita memberi bantuan dan inisiatif ini merupakan yang pertama kali dan hanya dilakukan oleh Kerajaan PR,’’ kata beliau ketika mengadakan lawatan ke SARMAA di sini baru-baru ini.

Sementara itu, antara SAR yang turut menerima bantuan adalah Madrasah Manabil Ulul, Penanti berjumlah RM197,000, Madrasah Al-Irsyad Al Asyraf Al-Watanaiah (RM159.000) ; Madrasah Al-Aminiah (RM183,000) ; Sekolah Menengah Islam Ad-Diniah (RM166,275) ; Sekolah Menengah Arab Tahfiz (SMART) (RM120,000) ; Sekolah Menengah Othmaniah (RM90,000) ; Institut Pengajian Ar-Razi (RM70,000) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Khairiah Islamiah (RM23,000).

Turut menerima bantuan kewangan tersebut adalah SABK Al-Masriyah menerima (RM30,000) ; SABK Maktab Wan Jah (RM13,000) ; SABK Faqiyah Daimiah, Permatang Pauh (RM22,000) ; SABK Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiyyah (RM25,000) ; SABK Daeratul Maarifil Wataniah 1 (RM25,000) ; SABK Daeratul Maarifil Wataniah 2 (RM19,000) ; SABK Al-Mashoor Islami (RM25,000) ; SABK SMATI (RM22,000) ; SABK Al-Mashoor Islami (RM25,000) ; SABK Al-Imam An Nawawi, Lahar Minyak (RM3,000) ; Sekolah Menengah Al-Itqan (RM96,275) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum, Permatang Pauh (RM45,000).

Sementara itu, bagi Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chong Teik, Balik Pulau, Lai Choon Bee, sumbangan sebanyak RM380,000 oleh Kerajaan Negeri bagaikan impian menjadi kenyataan.

LAI Choon Bee.
LAI Choon Bee.

Gembira sehingga tidak terkata!,’’ merupakan luahan ringkas beliau yang telah berkhidmat 10 tahun sebagai guru besar di sekolah berkenaan.

Menurut Choon Bee, dengan peruntukan tersebut, ia dapat menampung sebahagian daripada perbelanjaan pembinaan bangunan tiga tingkat dilengkapi 12 bilik darjah, bilik sains, bilik seni lukis, perpustakaan dan bilik guru serta kakitangan sekolah.

Sebelum ini, dengan jumlah keseluruhan 232 pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah, kami hanya ditempatkan di sederet bangunan lama 10 bilik. Ini bermakna, enam buah bilik digunakan untuk bilik darjah dan selebihnya masing-masing sebuah untuk bilik komputer, perpustakaan, bilik guru dan bilik guru besar,’’ jelasnya ketika ditemui SUARA CAT di sini baru-baru ini.

DEWAN besar yang dilengkapkan dengan bangunan baru SJK (C) Chong Teik, Balik Pulau.
DEWAN besar yang dilengkapkan dengan bangunan baru SJK (C) Chong Teik, Balik Pulau.

Tambahnya, sebelum menerima peruntukan ini, bagi menampung keperluan pembangunan sekolah, beliau, guru-guru dan juga ahli-ahli lembaga terpaksa menjalankan pelbagai aktiviti pungutan derma bermula pada tahun 2007.

Tiada siapa yang tahu kesusahan kami pada tempoh masa itu. Setiap malam kami terpaksa menghadiri majlis makan malam amal semata-mata untuk mengutip dan menerima wang sumbangann amal. Pada masa sama, pihak sekolah turut menganjurkan program jogathan, makanan amal dan lain-lain,’’ ujar Choon Bee sambil menjelaskan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chong Teik bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun depan.

Bagi Pengetua sekolah mubaligh, Methodist Boys School (MBS), Khor Hong Yin menyatakan bahawa sumbangan RM150,000 Kerajaan Negeri digunakan untuk menampung sebahagian daripada perbelanjaan pembinaan bangunan tiga tingkat yang keseluruhannya menelan kos berjumlah RM1.6 juta.

Kata Hong Yin, bangunan yang dijangka siap pada Ogos 2010 tersebut bakal menempatkan 15 bilik darjah bagi menampung pertambahan pelajar baru MBS dari setahun ke setahun.

KHOR Hong Yin.
KHOR Hong Yin.

Jumlah pelajar MBS kini adalah 1,516 orang. Perangkaan tersebut termasuk pelajar tingkatan enam bawah dan enam atas iaitu seramai 400 orang yang kini ditempatkan di 17 buah kelas secara keseluruhan,’’ katanya yang bakal bersara pada penghujung tahun ini kepada SUARA CAT baru-baru ini.

BANGUNAN baru MBS yang dijangka siap pada Ogos 2010.
BANGUNAN baru MBS yang dijangka siap pada Ogos 2010.

Setelah berkhidmat selama tujuh tahun lima bulan di MBS, setidak-tidaknya saya dapat melihat hasil kerja saya sebelum bersara tetap pada hujung tahun ini.

Selain bantuan daripada pihak Kerajaan Negeri, saya turut berharap bekas-bekas pelajar MBS yang sebahagian besarnya merupakan tokoh-tokoh terkenal di dalam dan luar negara juga dapat membantu pembangunan sekolah dari semasa ke semasa,’’ ujar Hong Yin.