Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri pada tahun ini (2014) turut memperuntukkan bantuan kewangan berjumlah RM1.75 juta kepada 28 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) bagi tujuan pembangunan institusi-institusi pembelajaran berkenaan di sini.
Timbalan Ketua Menteri II yang juga merupakan Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. P. Ramasamy berkata, inisiatif tersebut telah dimulakan sejak tahun 2009 lagi.
“Tahun ini merupakan tahun ke-enam Kerajaan Negeri menyampaikan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang.
“Diharap ia dapat membantu proses sistem pembelajaran dan pelajaran (P&P) pelajar serta guru-guru di sekolahsekolah berkenaan sekaligus memartabatkan sekolah-sekolah Tamil setaraf dengan pendidikan sedia ada di negara ini,” ucapnya pada Majlis
Penyampaian ‘Mock Cheque’ Sekolah-sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Turut serta, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolahsekolah Tamil Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. K. Anbalakan.
Tambah Ramasamy, beliau berharap prestasi cemerlang ditonjolkan melalui pencapaian dalam peperiksaan awam negara ini dapat membuka mata segelintir pihak yang sering memandang serong terhadap sistem P&P sekolah-sekolah Tamil.
“Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan bantuan sama ada dari segi kemudahan infrastruktur mahupun penyediaan kemudahan fizikal.
“Diharap Jawatankuasa Khas Sekolah-sekolah Tamil dapat membantu kita (Kerajaan Negeri) memantau keadaan di sekolah-sekolah ini (Tamil) dan laporkan sebarang bantuan diperlukan kepada kita,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa beliau akan terus membuat rayuan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Y.A.B. Tan Sri Datuk Muhyidin Yassin berhubung permohonan membina Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil (SMJKT) pertama dalam negara di Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha bagi membolehkan pelajar-pelajar sekolah rendah Tamil terus menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar ke peringkat sekolah menengah.
“Kita harap tidak akan timbul diskriminasi memandangkan Kerajaan Negeri bersedia menyediakan tanah yang bersesuaian di Butterworth bagi tujuan tersebut,” kata Guan Eng