BUTTERWORTH – Para ibu bapa menarik nafas lega ekoran inisiatif Kerajaan Negeri menambah RM500 (menjadikan jumlah keseluruhan RM1,000) jumlah sumbangan Bantuan Pendaftaran Pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada anak-anak kelahiran Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Dengan pertambahan tersebut, setiap bakal mahasiswa dan mahasiswi kelahiran negeri ini menerima RM1,000 bagi tujuan pendaftaran ke IPTA di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut Pembantu Tadbir Unit Protokol Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Azizan Hassan, 55, beliau dan keluarga amat bersyukur dan lega dengan pemberian sumbangan tersebut.
“Wang RM1,000 itu cukup untuk membayar yuran pendaftaran, perjalanan pergi balik, makan dan minum ketika menghantar anak kedua daripada empat beradik (Nurul Aifaa Adila Azizan) kami ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau, Perlis bagi mengikuti pengajian akauntansi baru-baru ini.
Dalam pada itu, Azizan berharap agar Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan cadangan beliau supaya memberikan sumbangan tambahan
kepada pelajar-pelajar yang berjaya mengikuti pengajian di IPTA Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana, yuran pendaftaran IPTA di sana adalah RM1,500 berbanding beberapa ratus saja di sini. Pada masa sama, ibu bapa dan pelajar juga
terpaksa menanggung perbelanjaan logistik seperti tempahan tiket kapal terbang pergi balik,’’ jelas beliau.
Azizan merupakan antara ribuan bapa yang berjaya memperoleh sumbangan RM1,000 Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPTA hasil keperihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berjiwa rakyat baru-baru ini.
Bagi seorang bapa, Mohamad Nasir, 50-an, beliau menyatakan bahawa program sebegini sepatutnya dilaksanakan dari dulu lagi.
“Kini, Kerajaan Negeri PR dah laksanakan dan saya amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan. Lazimnya, sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujarnya yang mana anak beliau, Badrul Hisham
berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam.
FAKTA :
-
Salah seorang ibu/bapa pengundi PP
-
Pendapatan isu rumah kurang RM4,000
-
Pendaftaran di pejabat daerah atau Pejabat ADUN