Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri meluluskan 2,454 permohonan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan jumlah peruntukan RM2,454,000 bagi tahun ini.
Lanjutan itu, melalui program Sumbangan Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPTA Kerajaan Negeri, setiap pelajar terbabit layak mendapat RM1,000.
Daripada jumlah tersebut, pecahan permohonan berjaya mengikut daerah adalah seramai 544 pelajar dari Daerah Timur Laut, Daerah Barat Daya (297), Daerah Seberang Perai Utara (707), Seberang Perai Tengah (635) dan Seberang Perai Selatan (271).
Jumlah tersebut adalah merangkumi pelajar peringkat ijazah sarjana muda dan diploma.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, bagi meringankan beban yuran dan keperluan persediaan awal, Kerajaan Negeri membuka permohonan i-BiTA kepada pelajar peringkat diploma bermula 21 Mei hingga 1 Julai lalu dan majlis penyampaian telah diadakan pada 3 Ogos lalu.
“Dengan pemberian ini, diharap dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke universiti.
“Dalam pada itu, saya sangat berharap iu bapa yang berada di sini akan memainkan peranan bagi memastikan anak-anak mereka yang telah berjaya kelak untuk pulang semula ke Pulau Pinang bagi mencurahkan bakti kepada negeri ini,’’ katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPTA Tahun 2013 Peringkat Daerah Timur Laut di sini baru-baru ini.
Sementara itu, dalam majlis penyerahan sumbangan sama peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir turut menyeru para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh demi mencapai keputusan cemerlang di peringkat universiti.
“Menamatkan pengajian dengan lulus biasa adalah tidak cukup ekoran persaingan pasaran kerja tinggi kini.
“Pelajar tidak seharusnya berpuas hari dengan ijazah sarjana muda semata-mata, sebaliknya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah,’’ jelas beliau.