JAWI – Seramai 257 pelajar dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) hari ini menerima cek bantuan pendaftaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui peruntukan berjumlah RM251,400.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pemberian bantuan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada ibu bapa yang bertungkus-lumus memastikan kecemerlangan anak-anak dalam bidang pendidikan.
“Walaupun jumlahnya tidak besar, namun ia sedikit-sebanyak dapat mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan untuk anak-anak melanjutkan pengajian di universiti dan IPT.
“Sebagai sebuah negeri kecil dan bergantung kepada sektor perkhidmatan, Kerajaan Negeri sedar bahawa kita perlu memberi perhatian utama terhadap pembangunan modal sejak dari bangku sekolah supaya mereka dapat menyokong kemajuan ekonomi serta sosial negeri ini pada masa akan datang.
“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar apabila tamat pengajian kelak, para pelajar akan pulang ke Pulau Pinang bagi menjayakan agenda pembangunan negeri ini,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT dekat Dewan Serbaguna Jawi di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye serta Pegawai Daerah SPS, Yazman Yahya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mencatatkan rekod pelaburan berjumlah RM13.3 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
“Walaupun berdepan cabaran ekonomi dunia, namun prestasi pelaburan Pulau Pinang amat membanggakan sehingga mencatat rekod RM13.3 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
“Pelaburan ini akan dapat mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan untuk warga negeri dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” ujarnya.
Difahamkan, bagi pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT di Semenanjung Malaysia menerima sumbangan berjumlah RM1,000, manakala Sabah dan Sarawak (RM1,200) serta RM300 (peringkat politeknik).
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD