BERTAM – Seramai 835 nelayan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerima bantuan pukat melibatkan peruntukan sebanyak RM334,000.
Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa prihatin dalam menjaga kebajikan melibatkan golongan nelayan di negeri ini.
Program Bantuan Pukat yang diperkenalkan sejak 2013 merupakan inisiatif bagi membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan dan menambahkan sumber pendapatan mereka.
“Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan pukat sebanyak RM400 secara one-off melibatkan peruntukan sejumlah RM959,600 kepada 2,399 nelayan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) secara bank-in ke akaun bank penerima.
“(Dan) tahun ini, Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan pemberian bantuan ini kepada semua nelayan berlesen iaitu seramai 4,037 nelayan merangkumi 3,710 nelayan laut dan 327 nelayan sungai dengan kos keseluruhan RM1.61 juta,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Bantuan Pukat di Pejabat Daerah dan Tanah SPU pada 15 April lalu.
Menurut Norlela lagi, tahun ini, pemberian bantuan adalah secara serahan wang tunai dan bukannya secara baucar atau melalui bank-in seperti tahun sebelum ini.
“Ini adalah hasrat para nelayan yang memohon agar pemberian bantuan diberikan secara wang tunai dan saya melihat ia sebagai platform terbaik dalam mengeratkan hubungan antara para nelayan dan para pemimpin masyarakat serta jabatan dan agensi kerajaan terlibat.
“Saya berharap pemberian bantuan pukat ini akan sedikit sebanyak membantu meringankan beban para nelayan terbabit dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat setiap kali tibanya musim perayaan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam merealisasikan majlis berkaitan.
Difahamkan, daripada 4,037 nelayan, pemberian bantuan tahun 2023 melibatkan seramai 841 nelayan laut dan 99 nelayan sungai di Seberang Perai Selatan (SPS); Seberang Perai Tengah, SPT (264, 48); SPU (655,180); Barat Daya (1,134) dan Timur Laut (816).
Gambar: EXCO