Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BUKIT TAMBUN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Kerajaan Negeri buat kali ketiga memberi sumbangan pukat kepada nelayan berdaftar, sejak dijanjikan dua kali untuk tiap-tiap
tahun pada Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU13) lepas.
“Jika dipilih sekali lagi selepas PRU13, kami (Kerajaan Negeri) berjanji untuk memberi bantuan pukat sebanyak dua kali tiap-tiap tahun.
“Kita kotakan janji kita, saya ingat ini sumbangan kali ketiga kita beri sumbangan pukat sejak tahun lalu (2013),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di sini baru-baru ini.
Perasmian Majlis Penyerahan Bantuan Pukat & Bekas Simpanan Ikan Kepada Nelayan Bahagian Seberang Perai disempurnakan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon diiringi Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.
Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Rohani Hassan serta wakil bagi kedua-dua Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).
Penerima, AMZAR CAT, 57, nelayan di Sungai Semilang yang ditemui kemudian melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, dengan menganggap bantuan seumpama itu mengurangkan kos kerjaya sebagai nelayan pantai.
“Ini kali ketiga saya dapat bantuan pukat…berasa lega sedikitlah apabila mendapat bantuan seperti ini,” ujarnya sambil berharap dipilih menerima bekas simpanan ikan daripada Kerajaan Negeri kelak.
K. KUMAR, 55, pula berkata, sumbangan pukat tersebut sekaligus menyerlahkan Kerajaan Negeri prihatin dengan jasa nelayan di negeri ini.
“Selepas menjadi nelayan masuk (selama) hampir 40 tahun, ini kali ketiga saya terima bantuan daripada Kerajaan Negeri,” katanya yang juga nelayan pantai di perairan Bukit Tambun.
Nada sama turut diluahkan ANG CHIN GUAN, 57, nelayan lebih 40 tahun di perairan Tok Keramat dekat Auto City di sini.
“Saya baru dapat dua kali bantuan pukat kerana terlambat daftar, tetapi, seronok kerana bolehlah nak kurang kos cari makan sebagai nelayan ini,” ujar beliau ditemani rakan penerima, Khor Kwang Ching, 60.
Dalam perkembangan berkaitan, Chin Guan turut mencadangkan pihak penguatkuasaan berwajib supaya mencegah aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan pukat harimau yang diakui turut menjejaskan hasil tangkapan rata-rata nelayan pantai di sini.
“Dulu tangkap ingat banyak senang di Pulau Aman khususnya, sekarang nak dapat ikan bawal hitam dan senangin pun susah, bawal putih pun kalau dapat tangkap sedikit sahaja,” seru beliau sambil menggesa penguatkuasaan daripada pihak berkaitan.